Pemuda UMNO/BN Hilang Telurnya

Dakwaan Pemuda Barisan Nasional (BN) Kelantan bahawa PAS sanggup 'bertumpah darah' untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai merupakan satu kenyataan pengecut dan gagal mengenal dirinya sendiri.

"Sama ada ianya tuduhan mahupun manipulasi ungkapan, ternyata Pemuda BN pengecut!" demikian ditegaskan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda BN Kelantan yang mendakwa kandungan ceramah pimpinan PAS sanggup 'bertumpah darah' pada PRK tersebut sebagai pendekatan politik samseng.

Katanya, samseng sebenar dalam sejarah politik negara ini hanya ada pada BN dan apabila samseng sudah 'kecut' dengan kebangkitan rakyat, maka mereka mula menuduh orang lain sebagai samseng.

Jelas beliau, hal itu sama sepertimana BN memanipulasikan ungkapan "sembah derhaka" dalam krisis politik di Perak lalu menuduh PAS sebagai penderhaka Raja-raja.

"Mungkin ada penceramah kita menyebut untuk mempertahankan PAS hingga ke titisan darah terakhir. Tetapi itu tidak bermaksud kita nak bertindak ganas. Ungkapan tu merujuk kepada kesungguhan kita para pendokong PAS!

"Janganlah Pemuda BN sekali lagi jadi tak reti (faham) bahasa, cukuplah buat-buat tak faham ungkapan "sembah derhaka" sebelum ni," ujarnya menyindir.

Hakikatnya tegas beliau, Pemuda BN gagal mengenali diri mereka sendiri bahawa merekalah samseng sebenar.

Menurut Rosli, dalam sejarah politik tanah air, BN bukan sahaja samseng, malah penyebab 'bertumpah darah'.

"Pemuda BN kena belajar semula sejarah. Lihat siapa yang menyebabkan syahidnya petugas pilihan raya PAS di Lubuk Merbau, Padang Terap. Sekali-kali juga jangan lupa darah syuhada di Memali, siapa yang tumpahkan?

"Samseng mana yang menyebabkan kecederaan parah kepada petugas PAS pada PRK Ijok dahulu kalau bukan Pemuda BN! Di (PRK Dun) Penanti, tanpa kehadiran Pemuda BN, pilihan raya aman damai," ujarnya.

Beliau memaklumkan, Pemuda PAS Kedah akan menghantar kontinjen pada pilihan raya tersebut yang terdiri daripada 500 petugas.

Sumber: Harakahdaily

Comments