Musa Hasan Bersengkokol Dengan Ah Long?

Gerakan mahasiswa, Solidariti Anak Muda Malaysia hari ini membidas keengganan kerajaan menyiasat kenyataan bersumpah tiga pegawai polis yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bersekongkol dengan Ah Long atau ceti haram tanah air.

Pengerusi gerakan itu, Badrul Hisham Shaharin berkata kenyataan bersumpah itu sudah menjadi asas yang kukuh untuk menyiasat Musa.

“Kewujudan kenyataan bersumpah dari tiga anggota PDRM iaitu ASP Hong Kin Hock, ASP Md. Yusof Ahmad dan Sarjan Mohd Yasin Malik yang mengaitkan Musa Hassan dengan Ah Long tidak boleh ditolak begitu sahaja,” tegas Badrul.

Beliau menambah kerajaan seharusnya menggantung tugas Musa dan pegawai polis terbabit serta-merta dan mengadakan siasatan bebas, berkecuali terhadap dakwaan itu.

Badrul, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, menunjukkan kepada krew TV Antara salinan akuan bersumpah ASP Hong Kin Hock.

Turut bersama di sidang media itu ialah Adun Paroi Taufek Abdul Ghani dari Pas.

Ketika membuat akuan bersumpah itu pada tahun 2007, Hong adalah seorang pegawai di Cawangan Operasi/Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Beliau dikatakan mengesan pembabitan Musa dalam kegiatan kongsi gelap apabila diarah oleh pegawai atasan untuk mengumpul maklumat mengenai kegiatan Ah Long di Johor dan Melaka.

Menurut Hong, sindiket Ah Long berkenaan dikatakan mengguna Musa Hassan untuk melindungi mereka daripada tindakan polis.

Hong berkata Musa telah mengarahkan tindakan tata tertib diambil terhadapnya apabila beliau mula menyiasat seorang pemimpin sindiket berkenaan yang digelar Tengku.

Alasan Musa ialah Hong kononnya telah membuat rakaman risikan secara tidak sah ketika menjalankan siasatan berkenaan.

“Saya merasa tertekan kerana tindakan saya mematuhi arahan pegawai atasan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan ceti haram yang membabitkan nama Tengku, boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib,” kata Hong dalam kenyataan bersumpahnya.

Badrul berkata kenyataan bersumpah Hong dan dua pegawai polis lain atas perkara sama tidak harus ditolak oleh pihak berkenaan begitu sahaja kerana Musa adalah pegawai polis tertinggi negara.

Satu siasatan bebas dan menyeluruh harus diadakan demi kredibiliti Polis diRaja Malaysia dan untuk membela semua anggota polis yang menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira bulu, kata Badrul.

Comments