Kerajaan Kurang Matang Buat Keputusan

Sebenarnya, kerajaan sudah boleh membuat keputusan sama ada mahu membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia atau tidak tanpa perlu merujuk kepada rakyat kita.

Mungkin tiada suatu peraturan pun atau prosedur yang menetapkan bahawa sesebuah negara itu perlukan sokongan majoriti rakyat untuk menerima seseorang kembali menjadi warganegara di negara berkenaan.

Ringkasnya, penguasa boleh saja menyatakan tidak ke atas pulangnya Chin Peng dan kita tidak perlu lagi berbalah mengenai hal tersebut.

Tapi, memang sengaja hal komunis ini dikembangkan sebagai wacana baru besar-besaran di media, forum seolah-olahnya ia suatu wabak baru yang mengancam kita; mengalahkan masalah ancaman selesema babi yang melanda negara baru-baru ini.

Kerajaan boleh terus menyatakan tidak kepada usaha mengembalikan Chin Peng dan hal itu terus didiamkan sahaja. Tapi, kenapa ia dipanjangkan ke dalam media?

Umno pun tahu bahawa akan ada kalangan rakyat yang bersedia dengan kembalinya Chin Peng dan ada yang tak bersetuju. Dengan sebab itu, rakyat kita akan kembali dipecahkan dengan menimbulkan isu ini.

Apabila rakyat dipecah-pecahkan, semangat kekitaan dikoyak-rabakkan, maka senanglah Umno meneruskan penjajahannya apabila ikatan perpaduan sesama rakyat musnah.

Comments