Streaming TV [Live]


Komuniti

Nuffnang

Monday, 18 May 2009

Rasuah Pas: Nik Aziz Kesal


KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak dakwaan kemungkinan berlaku pemberian sagu hati atau sogokan oleh calon kepada perwakilan pada kempen pemilihan menjelang Muktamar ke-52 parti itu Jun depan.

Menteri besar Kelantan itu berkata, beliau amat dukacita dan sedih kerana kegiatan yang tidak bermoral itu turut melanda Pas.


“Boleh jadi ada sungguh. Dan kalau ada saya sangat dukacitalah. Saya sangat dukacita kerana saya selalu sebut kita ni sokong Pas sedangkan Pas ini wadah perjuangan Islam. Islam mengharamkan rasuah.


“Kalau benda itu kita bagi sebelum timbul masalah pencalonan tidak jadi masalah tetapi ini kita bagi pada masa pencalonan, tidak boleh tidak orang akan tuduh kita kalau pun kita ni bersih.

“Tetapi orang tuduh kita bila kita buat sesuatu dalam keadaan yang mencurigakan. Kita dinasihatkan jangan berbuat sesuatu sehingga orang boleh menuduh kita melakukannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan pembiayaan peserta Ekspedisi Mendaki Gunung Everest di pejabatnya di sini, semalam.


Beliau berkata, tuduhan tidak akan dilemparkan sekiranya perbuatan dan perlakuan yang dilaksanakan tidak menimbulkan keraguan.

“Nasihat saya, jika calon memberikan kita sagu hati kita terima. Kalau dia beri kain kita pakai. Bagi lembu kita sembelih tetapi jangan undi dia.


“Perwakilan pun saya nasihatkan kalau orang beri, kita ambil tetapi jangan kita terpedaya dengan pemberian orang. Jangan sampai kita jadi hamba abdi kepada duit,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi mendakwa mendapat laporan berlaku unsur sogokan seperti memberikan baju dan mengadakan majlis makan oleh calon pada kempen kali ini.


Kelmarin, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dilaporkan meminta Mohamed memberikan bukti kepada Dewan Harian Pas mengenai dakwaan sogokan tersebut dan jika tiada bukti Mohamed boleh dikenakan tindakan tata tertib.


Mengulas dakwaan itu, Nik Aziz bersetuju Jawatankuasa Disiplin Pas mengenakan tindakan terhadap Mohamed jika tuduhan itu palsu.

“Kalau tidak ada fakta seperti kita mengada-adakan benda yang tidak ada.

“Sebab itu kalau tidak ada fakta jangan disebut dan sekiranya ada fakta lebih baik kita jumpa sama seorang,” katanya.


Menurutnya, Islam sendiri tidak menggalakkan umatnya menyebarkan perkara yang tidak baik kepada masyarakat.


“Saya juga tidak boleh memastikan apa yang dikatakannya (Mohamed) itu sebagai tuduhan atau teguran. Dua perkara ini sesuatu yang berbeza,” katanya.


Sementara itu, Nik Aziz menyambut baik kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan Presiden Pas selepas menerima 136 pencalonan daripada 137 kawasan parti.


“Syukur alhamdulillah beliau (Abdul Hadi) menang walaupun banyak pihak terutama media cuba melaga-lagakan pemimpin untuk jawatan itu,” katanya.


Beliau berkata, Abdul Hadi wajar meneruskan kepimpinannya berdasarkan pengalaman luas pemimpin itu dalam gerakan Islam.

Sinar Harian – 18 Mei 09

0 comments: