Streaming TV [Live]


Komuniti

Nuffnang

Tuesday, 26 May 2009

Penulis Muda Bantah PPSMI

AKHIRNYA, Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) baru-baru ini menyatakan dengan tegas bahawa mereka sebulat suara telah membantah keputusan PPSMI. Persidangan selama tiga hari itu membawa beberapa kesan yang tersendiri. Acara kali ini adalah acara kali kedua selepas acara di Tanjung Piai, Johor pada 2005.

Mungkin, ada beberapa sebab tertentu, kenapa rapat umum penulis muda sekitar 200 orang itu meletakkan resolusi pertama mereka seperti itu. Diucapkan syabas dan tahniah di atas sikap, pendirian mereka mereka tersebut. Yang menarik perhatian juga ialah, kehadiran beberapa pemimpin politik Melaka pada hari perasmian majlis tersebut.

Turut hadir dalam majlis perasmian pada 23 Mei itu ialah 'Speaker' Melaka. Dalam ucapannya, beliau menyebutkan bahawa Dr Mahathir adalah seorang yang sukar diubah pendiriannya apabila beliau telah mula melaksanakan dasar-dasarnya. Lewat ucapannya, sepertinya ada banyak rahsia besar yang dipendamkan 'Speaker' itu.

Beliau mengukuhkan hujahnya dengan menceritakan kisah-kisah yang lalu. Dalam catitan saya, tertulis mengenai kisah pertikaian antara Dr Mahathir dan Musa Hitam. Isunya tidaklah begitu jelas. Tapi, berdasarkan apa yang saya faham, sengketa hangat itu berlangsung selama 3 jam setengah.

Dan, menurut 'Speaker' Melaka, 'debat' 3 jam setengah itulah antara punca pergeseran antara Mahathir - Musa. Mutakhir ini, kita melihat pertikaian antara Anwar-Mahathir. Namun begitu, pergeseran Musa Hitam dan Mahathir Mohamad tidak begitu masyhur diperkatakan orang sejak akhir-akhir ini.

Merujuk kedegilan Dr Mahathir yang sukar diubah pendapatnya itu, 'Speaker' Melaka itu bercerita mengenai sepotong kata-kata Mahathir yang menggemparkan.

Saya Nak Jawab Di Akhirat!

"Dr Mahathir pernah berkata, sebagai pemimpin, saya nak jawab semua ini di akhirat!" kata sang 'speaker' ketika meriwayatkan pengalamannya yang lalu.

Jika benar Mahathir pernah berkata demikian pada suatu ketika dahulu, dan kata-kata itu masih lagi dipegangnya, ertinya ada kemungkinan besar bahawa beliau memang mahu PPSMI itu diteruskan. Dan Dr Mahathir sanggup menjawab di depan Tuhan di akhirat kelak berhubung tindakannya mempertahan PPSMI di dunia.

Jika demikian, Najib, Muhyiddin tidak mungkin memansuhkan PPSMI.

Dalam hal ini, jika riwayat 'Speaker' Melaka dapat dipertanggungjawabkan, maka rumusan awal yang kita boleh susun ialah barangkali Dr Mahathir berani berdepan dengan Tuhan untuk mempertahankan dasar PPSMI. Kalau Mahathir sanggup berdepan dengan Tuhan untuk pertahankan dasar songsang ini, adakah Muhyiddin berani sanggah Mahathir? Tidak mungkin Muhyiddin berani.

Pada hari terakhir rapat penulis muda itu berlangsung, Pengarah PPMN Saifullizan Yahaya menegaskan bahawa penulis muda membantah PPSMI. Maka, Prof. Dato' Dr Abdul Latiff Abu Bakar dengan begitu semangat dan lantangnya telah menyahut resolusi itu.

"Saya tergerak nak sentuh isu PPSMI ini sebab resolusi membantah dan memansuhkan PPSMI ini diletakkan di tempat pertama," kata ahli jawatankuasa tertinggi dalam Gapena itu. Sememangnya, ketika resolusi berhubung pemansuhan PPSMI itu dibacakan, tepukan gemuruh bergema penuh bersemangat.

Dalam pada itu, ada ucapan Dato' Dr Abdul Latiff yang membenihkan keraguan saya ke ataskesungguhan Muhyiddin Yassin yang kononnya akan memansuhkan PPSMI.

"Muhyiddin sebenarnya tak ingin menggunakan meja bulat PPSMI yang lalu kerana hasil meja bulat itu tak lengkap," demikian kata beliau. "Itu saja sebabnya kenapa dia menolak meja bulat itu."

Saya masih teringat kenyataan berbau ugutan dan ancaman Gapena kepada bekas Menteri Pelajaran Hishammuddin Hussein sebelum ini. Dato' Abdul Latiff telah menyelar sikap Hishammuddin dalam sebuah seminar yang berlangsung di Pusat Dialog Peradaban, UM tahun lalu.

Dalam ucapan beliau ketika itu, ada dinyatakan bahawa Gapena memberikan tempoh kepada Hishammuddin sehingga Mac lalu menjelang Perhimpunan Agung Umno.

Bagaimanapun, Najib akhirnya dengan pantas bertindak bijak menyelamatkan sepupunya, Hishammuddin setelah menyedari bahawa wujudnya tekanan selepas 7 Mac, gara-gara rapat umum anjuran GMP di depan Istana Negara.

Bebanan yang tergalas, masalah yang terpundak di atas Hishammuddin berpindah ke atas bahu Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran yang baru.

Muhyiddin tentunya telah lama menelaah kaedah-kaedah penentangan GMP, Kumpulan Prihatin, Pena dan Gapena dalam hal ini. Muhyiddin akan berlembut agar semua badan-badan ini tidak menyerangnya. Tidak guna kalau dilawan secara kasar.

Strategi Muhyiddin Berjaya?

Nampaknya, strategi Muhyiddin berjaya. Strategi memenangi hati, jiwa dan perasaan kumpulan ini tidak gagal. Buktinya, Gapena misalnya telah berlembut dengan Muhyiddin. Tidak terlintas di fikiran mereka untuk memberi tempoh, kata dua kepada Muhyiddin sepertimana yang telah dilakukan ke atas Hishammuddin sebelum ini.

Timbul persoalan baru, apakah Gapena tidak mahu memberikan tempoh ke atas Muhyiddin pula? Biarlah Gapena sendiri menjawab hal ini.

Sebenarnya, alasan Muhyiddin itu lemah. Mustahil Muhyiddin tidak pernah menyemak kelemahan PPSMI sebelum ini. Di tangan Muhyiddin terletaknya kuasa yang boleh digunakan dengan segera; sama ada mansuh atau terus mengekalkan dasar tersebut.

'Speaker' Melaka itu 'dikecam hebat' di bahagian belakang dewan perhimpunan itu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli jawatankuasa PPMN09. Bisik-bisik, suara kerdil di belakang dewan perhimpunan itu yang mengecamnya secara senyap sudah tentulah tidak didengari oleh 'speaker' Melaka itu.

Hatta, Dr Anwar Ridhwan sekali pun, hanya dapat menyanggah pandangan 'speaker' itu setelah tamatnya sesi ucapan orang besar di dewan undangan negeri itu. Harus diakui, ada kelemahan jiwa juga jika kita sudah termakan budi dan menerima tajaan kerajaan negara.

Bagaimanapun, ia bukan kesilapan dan kesalahan jika takut membela kebenaran kerana sudah termakan budi dan wang tajaan orang lain. Pena sukar menyusun acaranya sehebat PPMN05 di Tanjung Piai dahulu kalau tiada penajaan. Demikianlah yang berlaku sekarang. Tajaan PPMN09 oleh kerajaan negeri Melaka serta badan-badan lain amat sedikit berbanding acara perhimpunan sebelumnya.

Sememangnya, wang tajaan, perihal termakan budi orang ini memang menyebabkan suara hati kita menjadi sedikit lemah. Syor-syor untuk baling kasut, dan syor kecil-kecilan agar hadirin semua keluar dewan beramai-ramai ketika 'speaker' itu menyokong PPSMI itu akhirnya ditelan kedinginan penghawa dingin dewan! Dan, semua itu menjadi angan-angan yang tidak kesampaian.

Angan-angan yang tidak kesampaian sebenarnya jauh lebih mulia berbanding mereka yang tiada impian langsung untuk bersama menentang, memansuh PPSMI. Apa yang penting, harus difikirkan - bagaimana Pena mahu berdiri sendiri, menggerakkan acaranya tanpa bantuan sesiapa. Apakah wang guru-guru serta ibu bapa dalam PIBG misalnya dapat dimanfaatkan oleh Pena?

Jika ada hubungan perjuangan antara Pena dan guru-guru, ibu bapa (PIBG) yang diikat melalui wang, maka kuranglah pergantungan Pena ke atas pemerintah yang melemahkan semangat juang mereka. Semangat kesetiakawanan dan kepercayaan harus dikembangkan dan disuburkan.

Wajibkan Bahasa Inggeris?

Tiba-tiba sahaja, Dr Abdul Latiff menyatakan bahawa UM akan mewajibkan subjek Bahasa Inggeris. Langkah ini diambil barangkali sebagai membuktikan bahawa kalangan cendekiawan itu sebenarnya tidaklah anti bahasa Inggeris sebagai yang kerap didakwa Umno ke atas mereka sebelum ini.

Agak-agaknya, Dr Mahathir, Najib, Muhyiddin dan Hishammuddin pun tahu bahawa kalangan cendekiawan itu pun bukan anti matapelajaran bahasa Inggeris. Tapi, hujah semacam itu sengaja dilontarkan untuk memanjangkan debat. Apabila debat pertempuran makin panjang, maka tempoh melaksanakan PPSMI itu pun akan semakin berjaya dilaksanakan.

Maka, syor untuk mewajibkan matapelajaran bahasa Inggeris di universiti, semata-mata kerana ingin membuktikan bahawa kalangan cendekiawan tidaklah bersifat anti bahasa Inggeris, bukanlah suatu yang menekan kerajaan. Sebaliknya, tindakan ini akan menekan perasaan diri sendiri.

Nampaknya, ada pihak yang kalah lagi untuk pusingan yang entah kali ke berapa ini. Yang menang dalam pusingan kali ini adalah suara baru para penulis muda Pena yang sudah pun menyatakan pendirian mereka untuk memansuhkan PPSMI.

Sumber: Harakahdaily

0 comments: