PAS Bebas Rasuah


SHAH ALAM – Kemenangan tanpa bertanding Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pemilihan parti itu Jun ini menyangkal segala dakwaan kononnya wujud dua ‘puak’ dalam Pas.

Pen:gerusi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Abdul Hadi yang mendapat 136 daripada 137 kawasan Pas menunjukkan Presiden parti itu mendapat sokongan ‘bulat’ dan tidak berbelah bahagi daripada semua kawasan Pas.


Menurutnya, keputusan itu juga menafikan spekulasi bahawa Presiden parti itu bakal hilang kepercayaan selepas mencadangkan ‘kerajaan perpaduan’ dengan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Katanya, isu ‘kerajaan perpaduan’ hanya pandangan peribadi Abdul Hadi dan parti terbuka menerima reaksi ahli-ahli Pas berhubung perkara itu serta menegaskan ahli yang menolak cadangan itu bukan bermaksud menolak Abdul Hadi sebagai Presiden.

“Ini satu perkara yang orang sukar faham dalam Pas, kalau kita menolak pandangan Presiden ini tidak bermakna kita menolak Presiden,” katanya.


Mengenai pemilihan Jun ini yang terbesar dalam sejarah Pas, beliau berkata, ia satu perkembangan positif dan menunjukkan Pas mempunyai ramai ‘takungan’ pemimpin.


Dzulkefly yang turut mempertahankan jawatan selaku Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pas Pusat berkata, perkara penting pada pemilihan paling ‘meriah’ itu nanti adalah untuk ahli parti memikirkan gandingan pasukan terbaik.


“Gandingan pasukan pimpinan yang mampu mengekalkan kemenangan sedia ada dan memperbaiki tapak sokongan yang perlu kita capai.


“Jadi mereka akan menilai bukan kepada ‘label’ tetapi gandingan peribadi pemimpin:,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Ulama Pas, Datuk Mohamad Daud Iraqi bahawa unsur rasuah mula wujud dalam parti itu, Dzulkefly berkata, perkara itu tidak sepatutnya timbul.

Beliau yakin amalan ‘politik wang’ itu tidak wujud dalam Pas kerana pucuk pangkal perjuangan parti itu sentiasa berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam.


“Kalau sudah tergelincir ke situ (mengamalkan rasuah), tak payah berjuang dalam parti lagi,” katanya.

Comments