Nizar Kemuka Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.

Sulaiman berkata, pihaknya akan mengemukakan notis usul memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Isnin ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Berikutan keputusan yang diumumkan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Md Raus Shariff, Hakim Zainun Ali dan Hakim Ahmad Maarop mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang memihak kepada Nizar semalam.

Selepas keputusan diumumkan kira-kira pukul 3.50 petang yang hanya mengambil masa selama lima minit sahaja semalam, Sulaiman memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penghakiman bertulis bagi tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Saya telah menerima arahan daripada anak guam saya supaya membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Kami menghargai jika mahkamah dapat memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin,” katanya.

Hakim Md Raus berkata, beliau akan mengusahakan perkara itu dalam masa seminggu.

Sumber: Suara Keadilan

Comments