PR Ragui Keikhlasan Najib


SHAH ALAM – Permasalahan utama yang dihadapi antara Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang untuk bekerjasama mengatasi masalah ekonomi bukan kerana perbezaan fahaman politik, tetapi meragui keikhlasan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo` Lo` Mohamad Ghazali berkata, beliau mahu bakal Perdana Menteri itu menunjukkan keikhlasan yang sebenarnya dan bukan hanya omong kosong serta sandiwara semata-mata.

"Isu mengenai kes pembunuhan Altantuya, rampasan kuasa kerajaan campuran parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak, penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan serta Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang telah digantung selama 12 bulan memperlihatkan tindakan beliau tidak menunjukkan contoh terbaik untuk bekerjasama dengan pembangkang," katanya, semalam.

Mengulas mengenai penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan, Dr Lo` Lo` berkata, beliau melahirkan perasaan hairan kerana tidak sewajarnya akhbar tersebut digantung permit.

“Sebagai contoh, akhbar Harakah hanya dicetak dan diedarkan kepada ahli tidak sampai 150,000 naskhah. Itu pun dihalang dengan menyekat kebebasan bersuara dan mengawal media.

“Macam mana kita hendak memberikan kerjasama sedangkan beliau sebaliknya. Beliau (Najib) perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung perkara tersebut,” katanya, semalam.

Terdahulu, seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan bajet mini supaya pembangkang bekerjasama dengan kerajaan berikutan kegawatan ekonomi, cuba digagalkan oleh pakatan pembangkang.

Sinar Harian – 2 April 2009

Comments