Jurugambar RTM Mati Tertekan Hon


GUA MUSANG: Seorang jurukamera sambilan RTM Kelantan, Mohamed Yaakub, 61, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas terlibat dalam pergaduhan dengan seorang penyokong parti politik di depan rumahnya berhampiran Markas PAS di Bandar Lama di sini awal hari ini.

Kejadian itu berlaku di hadapan isterinya, Wan Thahirah Wan Ibrahim, 52, yang menyedarinya selepas arwah suaminya menekan hon kereta beberapa kali sejurus tiba di depan rumah kira-kira 12.45 pagi.

Wan Thahirah berkata terkejut dengan bunyi hon itu, beliau bergegas membuka tingkap untuk melihat apa sedang berlaku.

Katanya, hon yang dibunyikan arwah suaminya itu bertujuan supaya kenderaan yang menghalang laluan dialihkan pemiliknya, namun kemudian timbul pergaduhan menyebabkan wanita itu menjerit supaya ia dihentikan.

"Selepas itu, tiga lelaki datang membantu suami saya masuk ke dalam rumah dalam keadaan lemah dan sesak nafas," katanya.

Beliau berkata suaminya sempat menelan ubat jantung, tetapi keadaannya bertambah tenat sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) tetapi disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Jenazah Allahyarham dibedah siasat di hospital itu sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Wan Thahirah berkata beliau membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada 3 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Mengakui suaminya memang mempunyai penyakit jantung, beliau bagaimanapun kesal dengan kejadian pergaduhan itu dan berharap polis menjalankan siasatan rapi.

Polis setakat ini belum membuat kenyataan berhubung insiden itu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Papan di sini tengah hari tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak. - BERNAMA

P/s: Hon punya pasal.. Sakit jantung dan salahkan parti politik.. Al-fatihah

Comments