3 Polis dan Suspek Terlibat Kemalangan di Nilai



NILAI: Tiga anggota polis dan seorang suspek kes cabul, cedera apabila kenderaan dinaiki ketika dalam perjalanan ke ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, bertembung sebuah kereta di simpang Jalan Labu-Gadong, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, kereta Proton Waja dinaiki Koperal Razali Nasir, Koperal Hisham Abd Wahab dan Koperal Hasley Shah Yop berusia 30 hingga 50-an, dalam perjalanan membawa lelaki warga Pakistan berusia 32 tahun yang dipindahkan dari Nilai ke Seremban untuk siasatan.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Mitsubishi Lancer dipandu Pengurus Teknologi Maklumat, Zainuddin Salleh, 38, hilang kawalan dipercayai akibat jalan berpasir lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung kereta dinaiki anggota polis berkenaan.

Saksi kejadian, Nurul Hidayah Ismail, 25, berkata dia terkejut melihat kereta Mitsubishi itu berpusing beberapa kali sebelum pemandunya merangkak keluar dan terbaring atas rumput.

Hidayah yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat pembinaan berkata, dia tambah terkejut melihat tiga anggota polis dan seorang lelaki asing tersepit di tempat duduk lalu menghubungi talian kecemasan.

“Pada waktu itu semua mangsa tersepit menyebabkan saya takut untuk turun dari kereta, tetapi terus menghubungi talian 999. “Ini pertama kali saya menyaksikan kemalangan ngeri di depan mata dan ia amat menakutkan,” katanya di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata semua anggota polis dan warga asing itu masih dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) manakala Zainuddin hanya cedera ringan.

“Keadaan warga asing itu parah dengan pendarahan di kepala dan kaki manakala tiga anggota polis dilaporkan stabil,” katanya.

Comments