KUALA LUMPUR: Seorang gadis sunti dipaksa menghisap sebatang rokok yang dipercayai mengandungi dadah sebelum pengsan dan dirogol seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga abang angkatnya di sebuah flat di Pantai Dalam, di sini, awal Julai lalu.
Mangsa iaitu murid berusia 12 tahun diugut supaya merahsiakan kejadian itu. Disebabkan takut, mangsa mendiamkan diri menyebabkan dia terus dinodai suspek dan dipercayai dirogol lebih lima kali dalam tempoh hampir dua bulan lalu.
Tidak tahan dengan kejadian itu, mangsa mengadu kepada sepupu suspek berusia awal 20-an pada hujung Ogos lalu, namun aduannya itu sia-sia apabila lelaki terbabit pula merogolnya.
Bagi mengakhiri penderitaannya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 2 petang awal Julai lalu, mangsa yang bersendirian ketika menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat tujuh flat itu terserempak dengan abang angkatnya.
“Suspek kemudian memaksa mangsa mengekorinya pulang ke rumah. Lelaki terbabit seterusnya memaksa mangsa menghisap sebatang rokok menyebabkan dia pengsan.
“Sebaik tersedar mangsa menyedari dia dirogol. Suspek kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa jika memberitahu kejadian itu kepada orang lain termasuk ibunya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa dirogol suspek lebih lima kali dan dipercayai dipaksa menghisap rokok sebelum dinodai.
Comments