Melatah Boleh Kejutkan Buaya?


KUCHING: Aksi melatah biasanya dijadikan bahan jenaka, namun berlainan bagi seorang wanita yang menghidap penyakit itu apabila menyelamatkan nyawa suaminya daripada dibaham buaya ketika menjala udang di Sungai Paruh, malam kelmarin.

Kejadian berlaku ketika Wan Sahari Wan Ateng, 47, bersama isteri, Saliah Jini, 47, memilih udang tersangkut pada jala di atas perahu sebelum buaya sepanjang 6.5 meter menghampirinya lalu menyambar lengan kanan, jam 8 malam.

Menceritakan detik cemas dilalui, Wan Sahari berkata, kejadian berlaku begitu pantas apabila buaya berkenaan tiba-tiba menyambar lengan kanannya, menyebabkan isteri di sebelahnya terkejut lalu melatah.

“Dalam keadaan cemas ketika lengan ditarik buaya, saya menggunakan tangan kiri untuk bertahan sambil memaut pada perahu. Ketika itu kedengaran suara isteri melatah menyebabkan buaya itu ‘terkejut’ lalu melepaskan gigitan.

“Sukar bagi saya membayangkan keadaan berlaku ketika itu namun bersyukur kerana penyakit latah dialami isteri ‘membantu’ saya daripada menjadi mangsa,” katanya ketika temui, semalam.

Dalam fikirannya terbayang ajal bakal tiba ketika tarik-menarik antaranya dengan buaya itu.

“Ketika itu juga, saya terbayang anak di rumah membuatkan bersemangat untuk melawan reptilia ganas itu semakin kuat,” katanya.

Comments