ALOR GAJAH - Seorang remaja tergamam apabila melihat sendiri bapa saudaranya digilis beberapa buah kenderaan sehingga hancur dalam kemalangan di Kilometer 207, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini malam kelmarin.
ANGGOTA polis dan kakitangan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) mengangkat mayat Abd. Aziz di Kilometer 207, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Alor Gajah, Melaka malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, pemandu lori , Abd. Aziz Ramli, 46, mati di tempat kejadian setelah dilanggar sebuah kereta ketika menyeberangi lebuh raya berkenaan. Mayatnya yang tercampak ke seberang jalan kemudian digilis sehingga hancur oleh beberapa kenderaan lain yang tidak menyedari terdapat mayat di atas lebuh raya berkenaan.
Anak saudara mangsa, Muhammad Amirul Ridzuan Mohd. Sabri, 17, yang melihat sendiri kejadian berkenaan berkata, sebelum kejadian, lori yang dipandu bapa saudaranya itu dan dia yang menjadi kelindan kehabisan minyak ketika dalam perjalanan dari Subang ke Melaka.
Menurutnya, disebabkan lori berkenaan kehabisan minyak, arwah terpaksa menumpang kereta ke stesen minyak berhampiran dan menumpang lagi kereta lain setelah membeli minyak.
"Ketika kemalangan berlaku, arwah sudah membeli minyak dan sedang menyeberangi jalan dari arah bertentangan untuk kembali ke lori. "Ketika tiba di laluan paling kanan, arwah dilanggar oleh sebuah kereta sehingga terputus dua dan tercampak ke seberang jalan sebelum digilis beberapa kereta lain hingga hancur," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka semalam.
Muhammad Amirul Ridzuan berkata, dia yang melihat kejadian itu tergamam sebentar sebelum cuba menahan kereta untuk memohon pertolongan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
Comments