Ada Tentera Israel Dalam FRU?

\

KUALA LUMPUR:  Kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai penggunaan kanister gas pemedih mata oleh Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), yang didakwa jenis yang sama digunakan  tentera Israel untuk memerangi rakyat Palestin.

Catatan pada kelonsong kanister menunjukkan ia digunakan bersama respirator berpenutup muka penuh dengan katrij penapis organik.Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini kerana FRU menggunakan kanister gas pemedih mata yang sama untuk menyerang peserta himpunan aman Bersih 9 Julai lalu.


Justeru katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bertanggungjawab memberikan penjelasan.

“Pihak polis yang diketuai Ketua Polis Negara perlu menjelaskan secara terpeinci kerana dakwaan ini adalah serius, dari satu sisi ia amat bahaya kepada negara kerana menunjukkan pengaruh Israel yang meresap dalam pasukan PDRM,”

“Kita bimbang Syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel ini kemungkinan turut menerima pakai nasihat dari Apco,” ujarnya kepada Keadilandaily, mengulas pendedahan Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya.

Latheefa sebelum ini mendedahkan kanister itu dibekalkan oleh Federal Laboratories Inc kepada tentera Israel, mengandungi bahan kimia yang berupaya menjejaskan sistem saraf,  kecederaan kepada mata, paru-paru dan penyakit kulit.

Kanister jenis yang sama juga pernah diharamkan dalam peperangan mengikut Konvensyen Senjata Kimia pada 1993.

Malah beberapa penduduk palestin pernah terbunuh akibat serangan gas pemedih mata yang sama digunakan tentera Israel.

Menurut Shamsul, beliau juga khuatir kematian Baharudin Ahmad, 59 yang dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi jantung semasa serangan FRU di KLCC, berpunca dari serangan gas tersebut.

“Kita menuntut KPN juga menjelaskan secara terpeinci punca kematian Baharudin, kerana pihak polis mengatakan ia disebabkan kompilasi jantung. Apakah kematiannya sebenarnya berpunca dari gas tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak polis perlu menjelaskan kenapa pihak berkuasa itu tidak mematuhi prosedur dengan melepaskan tembakan menghala terus kepada orang ramai dalam himpunan itu.

“Dalam rakaman video dan gambar kita dapat lihat prosedur yang salah, antaranya tembakan gas pemedih mata yang dihalakan terus kepada peserta himpunan.

“Begitu juga dengan tangkapan yang dibuat secara kasar termasuk menumbuk, menendang sehingga menyebabkan kecederaan serius dan pendarahan,” katanya.

Comments