Paksa Gadis Telan Heroin

SHAH ALAM: Taktik dua Awang Hitam menawarkan percutian percuma ke Macau, China kepada dua gadis berusia 21 tahun dengan hasrat menjadikan mangsa sebagai ‘keldai dadah’ tidak kesampaian apabila polis bertindak lebih awal menyerbu rumah suspek di Puchong, baru-baru ini.

Menunjukkan ketulan kapsul dan dua peket plastik mengandungi heroin yang dirampas daripada suspek

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata serbuan dilakukan pada 6 Mei lalu selepas pasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan intipan kira-kira seminggu.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan enam ketulan kapsul dan dua peket plastik dipercayai mengandungi heroin gred tinggi seberat 372 gram bernilai RM28,000. Polis turut menemui satu ketulan daun mampat dipercayai ganja seberat 70 gram bernilai RM700.

Menurutnya, serbuan kira-kira jam 2 pagi itu mendapati suspek iaitu dua lelaki warga Nigeria berusia 27 dan 28 tahun yang juga penuntut di kolej swasta mengurung mangsa selama beberapa jam sebelum merancang bertolak ke Macau, China, pada keesokan harinya.

“Berdasarkan siasatan suspek memperdayakan mangsa dengan menawarkan percutian secara percuma ke Macau.

“Dua wanita tempatan itu bertemu lelaki Nigeria terbabit melalui perkenalan di sebuah kedai makan sebelum bersetuju dengan pelawaan itu dan pergi ke pangsapuri suspek sebagai persiapan sebelum kononya akan berlepas pada 7 Mei lalu. “Sebaik tiba di pangsapuri berkenaan kedua-dua wanita terbabit dipaksa menelan kapsul berisi dadah untuk diseludup ke China, namun disebabkan enggan melakukannya, mereka dikurung,” katanya.

Nordin memberitahu mangsa dipaksa menelan enam kapsul yang dibalut dengan pita pelekat supaya tidak pecah, tetapi mangsa yang juga pelajar kolej swasta enggan menelan kapsul terbabit.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lagi wanita tempatan yang bekerja sebagai pereka grafik dipercayai mempunyai hubungan dengan dua suspek warga Nigeria terbabit di pangsapuri berkenaan pada hari sama.

Comments