Geng 'Polis' dicekup


MELAKA - Kegiatan jahat lima lelaki bergelar Geng Sham Botak yang menyamar sebagai polis untuk menyamun warga asing tidak ke mana apabila kesemua mereka ditahan dalam satu operasi di sebuah rumah di Kampung Hilir, Banda Hilir di sini baru-baru ini.

Suspek-suspek berusia di antara 26 dan 41 tahun tersebut ditahan pada 12 Mei lalu selepas polis melancarkan operasi sebaik menerima laporan dari satu pasangan warga asing yang kerugian RM10,000 disamun di Taman Melaka Raya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chua Ghee Lye berkata, kejadian pukul 2.10 pagi pada 11 Mei itu berlaku apabila tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Waja telah menahan pasangan tersebut di sebuah premis di situ dan memperkenalkan diri sebagai polis.

Katanya, suspek yang bersenjatakan parang dan vest polis telah mengikat dan menyamun mangsa.

"Salah seorang suspek turut mencabul mangsa wanita itu dan mengacukan senjata tajam di kemaluannya sebelum melarikan diri.

"Sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) kemudian telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Hilir pada pukul 1 pagi keesokan harinya dan menahan ketua kumpulan tersebut yang berusia 41 tahun," katanya.

Comments