Bunuh Bayi Kekasih

AMPANG: Seorang penganggur dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kematian anak teman wanitanya yang berusia satu tahun tujuh bulan dengan meninggalkan bayi lelaki itu di dalam kereta selama beberapa jam, bulan lalu.

Tertuduh, Hooi Wai Char, 35, yang memakai baju kemeja dan seluar coklat mengangguk faham ketika pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Aida Mastura Mohamed Aman.

Gambar hiasan

Mengikut pertuduhan, Hooi berasal dari Pandan Indah itu didakwa membunuh Low Hong Jun di dalam sebuah kereta Proton Satria di hadapan rumah bernombor 4, Jalan 11 Taman Sri Watan, Ampang antara jam 2 pagi hingga 12.30 tengah hari, 21 April lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, ibu kanak-kanak berkenaan, Miss Metta, 24, yang juga seorang rakyat Thailand dipenjara tujuh bulan dari tarikh ditangkap, iaitu 21 April oleh mahkamah selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menetap di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan.

Miss Metta, yang menangis teresak-esak itu didakwa mengikut Seksyen 15(a) Akta Imigresen yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Turut menerima nasib sama, pembantu rumah kepada pasangan itu, rakyat Indonesia dikenali Noraini dipenjara enam bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 24 April lalu terhadap pertuduhan yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Nazatul Shima Ab Wahab.

Comments