Tsunami 14 Meter


Tsunami yang menyebabkan lebih 200 orang terbunuh di Kepulauan Samoa dan Tonga pada September lalu didapati setinggi 14 meter, kata beberapa saintis semalam.

Menurut saintis itu, ketinggian itu dua kali daripada kebanyakan bangunan yang terdapat di kepulauan tersebut.

Penemuan itu diperoleh hasil kajian saintis-saintis New Zealand yang melakukan penyelidikan ketinggian tsunami berdasarkan saiz, kekuatan dan jarak lokasi ombak tsunami dari pantai.

Seorang jurutera di Institut Penyelidikan Atmosfera dan Air Kebangsaan New Zealand, Stefan Reese memberitahu agensi berita AP, ombak itu mencecah ketinggian 14 meter.

Saintis-saintis itu mengukur kesan air pada bangunan dan pokok untuk mengesahkan ketinggian ombak tsunami.

"Di beberapa kawasan, tiada apa yang dapat diselamatkan apabila ombak ganas itu bergerak sejauh 700 meter ke daratan," katanya.

Seramai 226 orang maut dalam kejadian tsunami itu.

Namun Reese berkata, terumbu karang yang banyak terdapat di perairan itu berjaya mengurangkan ketinggian ombak sebanyak tiga meter.

Gempa bumi sekuat 8.0 pada skala Richter yang melanda Samoa, Samoa Amerika Syarikat (AS) dan Tonga pada September lalu menyebabkan tsunami itu berlaku.

Tsunami yang berlaku pada 29 September itu menyebabkan 34 orang terbunuh di Samoa AS, 183 maut di Samoa dan sembilan lagi di Tonga. - AP

Comments