Kelantan Sokong Kerajaan Malaysia

Kelantan menyokong langkah kerajaan Malaysia membantu menyelesaikan konflik yang melanda di selatan Thailand sekarang sehingga telah mengorbankan ribuan nyawa khususnya umat Islam sejak beberapa tahun lalu.


Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penduduk di selatan Thailand sama ada beragama Islam atau sebaliknya perlu dibantu bagi menjamin keselamatan mereka.


“Saya melahirkan rasa syukur dan gembira di atas kesediaan pemimpin mahu menyelesaikan konflik itu.


“Saya setuju Malaysia ingin membantu Thailand menyelesaikan konflik negara itu yang nampaknya tidak selesai. Tak selesai sekiranya masalah bom diselesaikan dengan bom.


“Seperti apa yang berlaku di Israel sejak dahulu hingga sekarang juga tidak pernah selesai,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Menjelang 20 Tahun Kepimpinan Ulama di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini hari ini.


Seminar separuh hari itu dianjurkan Pejabat Menteri Besar dan diurusetia Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Lebih 1,000 hadir pada program tersebut termasuk anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Dewan Rakyat, ketua-ketua jabatan negeri, pegawai agensi di bawah kerajaan negeri dan pegawai lantikan politik.


Tiga kertas kerja dibentang pada seminar tersebut termasuk oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah.


Empat pensyarah kanan dari institusi pengajian tinggi tempatan juga dijemput mengulas kertas kerja terbabit.


Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan lawatan ke Narathiwat bersama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan mereka berjumpa dengan masyarakat Islam di tiga wilayah bergolak tersebut.


Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sebelum ini beliau sering menerima jemputan umat Islam dari wilayah berkenaan bagi menyampaikan ceramah agama, namun sekarang tidak dapat lagi ke sana kerana pergolakan yang berlaku.

Comments