PAS Tidak Khianat Pakatan Rakyat


Pas tidak akan sekali-kali mengkhianati rakan parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) sebaliknya terus berusaha memperkukuhkan gabungan itu sebagai alternatif kepada rakyat, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Naib Presiden Pas itu berkata, idea penubuhan kerajaan perpaduan dianggap bukan bertujuan merugikan parti dan sekutu dalam PR apatah lagi untuk mengundang kontroversi.

“Dalam keadaan ini, ahli mesti menerima idea dan gagasan ini tanpa syak wasangka sehinggalah Presiden memberi penjelasan lanjut mengenainya.

”Idea ini dilontar di peringkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya,” kata Pesuruhjaya Pas pahang itu menerusi blognya semalam.

Idea kerajaan perpaduan yang disuarakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas ke-55 minggu lepas telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pimpinan PR dan menuntut kepimpinan Pas memberi penjelasan lanjut berhubung cadangan tersebut.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mengaku isu itu menyebabkan parti itu dicemari sikap ahli yang membelakangkan prinsip jemaah yang menjadi amalan tradisi parti dengan menyuarakan protes terbuka terhadap cadangan Presiden Pas itu.

Beliau percaya kebijaksanaan Abdul Hadi memperhalusi gagasan kerajaan perpaduan menerusi wacana kepimpinan yang bakal diadakan mampu menyelesaikan konflik tersebut.

“Tetapi prinsip yang dinyatakan ialah kami tidak akan bekerj:asama ke arah permusuhan dan Pas mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini.

“Cinta kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia, malah Islam tidak menghalang setiap kaum mencintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia,” katanya.

Comments