Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Disebalik Hishamudin dan Ahmad Said

Saturday, 27 June 2009

Setelah mengambil masa hampir dua bulan, akhirnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, berjaya juga mengadakan mesyuarat pertama parti itu, Ahad (21 Jun) lalu. Pada kesempatan yang ditunggu-tunggu banyak pihak itu, beliau mengumumkan pelantikan mengisi tiga jawatan utama Umno negeri.

Bekas Timbalan Pengerusi Umno Terengganu merangkap Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun), Dato' Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai setiausaha menggantikan bekas Ahli Parlimen Dungun, Dato' Dr Rosli Mat Hassan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd Said pula mengambil alih jawatan bendahari daripada Senator Dato' Roslan Awang Chik.

Jawatan ketua penerangan pula diisi Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek. Beliau menggantikan Dato' Zuber Embong.

"Kalau kita memihak dan dilihat sebagai pemimpin yang mirip kepada puak tertentu, akhirnya apa yang kita harapkan tidak akan jadi kenyataan dan saya akan gagal sebagai Pengerusi Umno Terengganu. Saya akan gagal untuk terajuinya dan akhirnya saya akan menghampakan begitu ramai mereka di luar sana khususnya rakyat Terengganu," Hishammuddin mengulas pelantikan diumumkannya.

Itu keyakinan beliau. Di luar sana bagaimanapun sudah kedengaran suara betapa Hishammuddin sebenarnya belum berjaya membebaskan diri dari percaturan kepuakan itu. Barisan kepimpinan utama diumumkannya dilihat lebih memihak kepada kumpulan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said.

Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman dilantik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pada 14 Jun 2008 menggantikan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh. Bagaimanapun, parti dan kerajaan dipimpinnya tidak pernah sunyi dari karenah pemimpin sesama parti yang tidak dapat menerima pelantikan beliau menerajui kedua-dua organisasi itu.

Pelantikan Hishammuddin yang diumumkan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Razak, 24 April lalu adalah sebahagian formula parti itu meleraikan kekusutan dan memulihkan pergolakan dalaman melanda Umno Terengganu. Ahmad 'diturunkan pangkat' sebagai Timbalan Pengerusi.

Acapkali disebutkan betapa pelantikan Hishammuddin cuba dimanfaatkan puak penentang Ahmad. Mereka mengambil kesempatan membongkar kepincangan dan kelemahan Ahmad. Antara yang paling disebut ialah harapan agar kepimpinan baru dapat mengembalikan hak sewajarnya kepada setiap Adun bagi mengurus dan memajukan kawasan masing-masing. Hak itu didakwa telah dirampas Ahmad.

Menteri besar itu turut didakwa tidak melaksanakan sebarang aktiviti memperkasakan Umno. Maka pelantikan Hishammuddin diharap menjadikan pentadbiran parti lebih baik dan tersusun.

Namun sejauh manakah pelantikan diumumkan Hishammuddin Ahad lalu mampu merealisasikan harapan puak itu, atau sekurang-kurangnya meredakan ketegangan hubungan antara dua puak bertelagah dalam Umno Terengganu kekal menjadi pertikaian. Ketiadaan kelibat Idris dalam mesyuarat sangat penting itu juga menjadi tanda tanya.

Kesemua Ketua Umno Bahagian hadir, melainkan Ketua Umno Bahagian Besut itu. Tidak pula dinyatakan sebab-musabab ketidakhadirannya. Apakah beliau ada komitmen lain yang lebih penting sehingga tidak dapat meraikan tarikh mesyuarat tersebut?

Apa pun kemungkinan sebab-musababnya, pelantikan diumumkan Hishammuddin itu dinilai menambahkan kelebihan kepada Ahmad. Kedudukannya sebagai timbalan pengerusi adalah kelebihan yang sudah diperolehinya sebelum ini.

Mungkin jawatan nombor dua itu dirasakan paling sesuai diisi Ahmad, terutama mengambil kira kapasiti beliau selaku ketua kerajaan negeri. Lebih dari itu, jawatan itu melayakkan Ahmad menggalang ganti Hishammuddin dalam banyak keadaan dan ketika.

Selaku pemimpin nasional yang ada tugas lebih besar serata negara dan tidak menetap di Terengganu, Naib Presiden Umno itu tidak akan mampu menyertai urusan partinya secara seratus peratus. Beliau tidak berkesempatan menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas partinya di Terengganu. Mahu tidak mahu, sebahagian urusan itu terpaksa diserahkan kepada Ahmad selaku timbalannya.

Kekuatan Ahmad kini ditambah dengan pelantikan Tengku Putera sebagai setiausaha. Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu sememangnya orang kanan beliau, terutama di saat kemuncak pertembungan dalaman parti itu sebelum ini.

Meskipun pengguguran tiga penyandang tadi pada zahirnya dilihat seolah-olah langkah mengikis kekuatan Ahmad, ia tidak boleh disimpulkan semata-mata atas sebab mereka itu puak Ahmad. Pengguguran Rosli dan Roslan dirasakan lebih ada hubung kait dengan langkah 'pembersihan' ekoran penahanan mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 10 Jun lalu. Mereka disyaki terlibat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Manakala pengguguran Zuber pula dirasionalkan sebagai memberi jalan kepada Shabery. Selaku menteri kabinet dan tenaga muda Umno, adalah munasabah bekas Menteri Penerangan itu diberi tugas ketua penerangan.

Ertinya, pengguguran mereka bukan sangat atas faktor mereka puak Ahmad. Sedangkan pelantikan baru diumumkan itu memberi ruang selesa kepada menteri besar itu mengukuhkan kedudukannya dalam parti dan kerajaan. Pakatan Rakyat di bawah Tok Guru padu di Manek Urai.

0 comments:

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat