Ketakutan Jika Kalah Lagi

Penasihat Dap Lim Kit Siang menyeru semua pengundi perlu memberi sokongan yang tinggi bagi membolehkan calon Pakatan Rakyat Dr Mansor Othman memperoleh majoriti besar dalam pilihanraya kecil Penanti pada 31 Mei nanti.

Menurut Lim, Ini disebabkan walaupun Barisan Nasional takut untuk meletakkan calon tetapi secara hakikatnya mereka masih lagi berkuasa dan sebarang keputusan di Penanti akan melibatkan imej Perdana Menteri, Najib Razak.

“Sebab itu pengundi Penanti perlu memberi masej kepada Najib bahawa sokongan rakyat terhadap calon kita amat besar supaya beliau tahu rakyat bersama kita serta menolak BN secara menyeluruh,” jelas Lim dalam ceramah sempena kempen pilihanraya Penanti di Taman Guar Perahu semalam.

“Selain itu kemenangan besar di Penanti akan akan meningkatkan lagi ketakutan Najib terhadap kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan politik di negara ini,” kata beliau.

“Kita mesti ingat walaupun BN tidak bertanding tetapi calon sebenar yang mewakili BN adalah Najib,” kata beliau

Menurut Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Najib sedang manghadapi tekanan ketakutan untuk menghadapi pilihanraya disebabkan rekod pilihanraya yang dilalui BN telah mencacatkan keputusan yang memalukan.

“Najib amat takut dengan pilihanraya kerana masa pilihanraya Umum Mac tahun lalu, beliau adalah pengarah pilihanraya pusat, ketika jadi Timbalan Perdana Menteri pula BN kalah teruk di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dan apabila Najib jadi Perdana Menteri pula beliau telah kalah di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

“Inilah sebabnya Najib takut untuk bertanding di Penanti yang merupakan salah satu dari kawasan Parlimen Anwar Ibrahim,”kata beliau yang disambut tepukan gemmuruh lebih lima ribu hadirin.

Menyentuh isu tindakan 12 anggota polis yang membuat serbuan dipejabat Dap di Petaling Jaya baru-baru ini, Lim berkata pihak polis telah melakukan salah satu lagi salahguna kuasa dalam menghalang penyuburan proses demokrasi di negara ini.

“Dap sudah 43 tahun berada dalam landasan bagi menyuburkan demokrasi di Malaysia dan kami tidak pernah melakukan sesuatu tindakan yang melanggar undang-undang,” jelas Lim.

Sumber: Malaysiakini

Comments