Bunuh dan Bakar Ibubapa



JAKARTA: Sepasang suami isteri warga emas di bandar Tangerang ditikam dan dibakar hingga mati oleh anak lelaki mereka yang mengakui melakukan jenayah itu, kata polis. semalam.

Pasangan dikenal pasti sebagai Yo Ribut dan isterinya, Lie Sek Nio, masing-masing berusia 60 tahun adalah penjaja ladu siomay. Mayat mereka ditemui di kediaman mereka di daerah Karang Sari Jumaat lalu.

Polis berkata, Yo dan Lie dibunuh oleh anak ketiga mereka, Budi yang melaporkan kematian pasangan itu kepada adik-beradiknya.

Kakak tertuanya, Santi melaporkan Budi kepada polis selepas dia tidak menunjukkan tanda simpati atau kesal mengenai kematian ibu bapa mereka.

Polis dari balai bandar Tangerang menyoal siasat Budi dan kemudian menahannya sebagai suspek atas kematian pasangan itu.

“Ibu bapa saya sangat baik kepada semua. Mereka tidak pernah ada masalah dengan jiran tetangga,” kata Santi.

Adik-beradik lain, Encan berkata, dia mengesyaki Budi membunuh ibu bapa mereka bagi membayar hutang judinya.

“Kamu memang anak derhaka. Kamu disumpah kerana membunuh ibu bapa kita hanya kerana wang,” kata Encan memarahi Budi ketika polis membawanya dari kediaman itu.

Menurut jiran, Budi tidak bekerja, tidak seperti adik-beradiknya yang lain dan mempunyai reputasi sebagai pencetus masalah dalam keluarga ekoran suka berjudi.

Ketua Polis bandar Tangerang, Komisioner Kanan Wahyu Widada mengesahkan pihaknya menamakan Budi sebagai suspek utama dalam dua kes bunuh itu. “Bukti yang kami temui di tempat kejadian dan keterangan daripada sebilangan saksi mendorong polis menahan Budi,” katanya. 

Mayat pasangan suami isteri itu dibawa ke hospital Tangerang untuk bedah siasat. 

Tribunenews

Comments