Lagi Bas Kemalangan ke Perhimpunan UMNO



Sepasang suami isteri terbunuh manakala 17 cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori di Km 45.2 Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Kampung Gua Badak di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum berkata, pemandu lori, Ong Khian Hock, 51, dan isteri, Loh Weng Chan, 46, yang berasal dari Taman Pengkalan Makmur, Taiping, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Menurut Abdul Manab, kejadian berlaku pada pukul 6 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gerik, bertembung dengan lori yang dipandu Khian Hock yang sedang dalam perjalanan dari Gerik ke Lenggong.

Katanya, mereka yang cedera parah ialah pemandu bas, Azmi Abdul Rahman, 48, dua penumpang iaitu Norliza Che Moh, 40, dan Fadilah Mahmud, 43 dan kesemua mereka kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Seramai 14 lagi penumpang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gerik.

Mereka adalah antara 38 ahli Wanita UMNO Bahagian Gerik yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. - BERNAMA

Comments