ALOR GAJAH: Umat Islam yang terbabit dalam amalan pemujaan nombor ekor bukan saja jahil dan tamak untuk mengejar kekayaan, malah jauh terpesong daripada agama Islam dan perlu segera bertaubat.
Pengerusi Pegawai Syarak Negeri Melaka, Abu Khir Jamaluddin berkata, kebanyakan pengikut yang melakukan pemujaan berkenaan juga terlalu taksub kononnya seseorang pengamal nombor ramalan mampu memberi nombor ekor dikehendaki tanpa mengetahui sebenarnya mereka ditipu.
Menurutnya, pihak terbabit perlu sedar perbuatan seumpama itu dilarang keras dan bertentangan dengan syariat Islam.
“Saya berpendapat, dalam hati mereka yang melakukan pemujaan nombor ekor masih ada sifat angkuh ingin cepat kaya hingga sanggup menyesatkan diri mereka dengan menyembah colok sebagai alat memohon sesuatu yang ditegah agama,” katanya.
Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai segelintir warga emas beragama Islam sanggup meredah laluan berselut tanah merah di kawasan ladang kelapa sawit sejauh 2.5 kilometer semata-mata bagi mendapatkan nombor bertuah melalui pemujaan di sebuah tokong lama di Lubok China, Alor Gajah, di sini.
Katanya, kebanyakan pengamal nombor ekor haram terbabit berselindung di sebalik lagak alim dan rajin beribadat namun pada masa sama ada niat melakukan perkara khurafat ditegah agama Islam.
“Saya malu bila membaca berita ada segelintir lelaki beragama Islam sanggup datang jauh semata-mata mengikut kehendak hati mahu cepat kaya, sedangkan mereka tahu perbuatan itu sesat lagi menyesatkan.
“Golongan ini mudah menghidu di mana ada unsur yang boleh dipuja untuk mendapatkan nombor ramalan tanpa menghiraukan kesedaran di dalam diri mereka asalkan apa yang mereka hajati tercapai.
“Malah, segelintir daripada mereka sanggup memuja kubur lama yang dianggap keramat dalam usaha meminta pertolongan bagi memuja nombor ekor, namun mereka lupa kubur yang dianggap keramat itu tidak dapat membantu mereka,” katanya.
Abu Khir berkata, orang Islam wajib mempercayai mereka hanya boleh meminta pertolongan daripada Allah SWT semata-mata dan wajar segera bertaubat dan berhenti melakukan amalan ditegah agama.
P/s: Negeri je yang maju tapi rakyat duk main tikam ekor. Jangan pemimpin kena tikam suda. Negeri maju tapi sampai hari ni belum ada penerbangan antarbangsa.. Kuikuikui...
Comments