Yahudi Bakar Masjid

BAITULMAQDIS: Masjid di sebuah perkampungan Badwi dibakar sementara temboknya diconteng semalam, dipercayai perbuatan kumpulan pelampau Yahudi.

“Seluruh masjid, termasuk permaidani dan kitab suci al-Quran dibakar,” kata imam kampung itu, Fuad Zangariya.


Dalam kenyataannya kepada Radio Tentera Israel, beliau berkata, perkataan ‘Palmer’ dan ‘balas dendam’ diconteng pada tembok masjid.

Minggu lalu, polis berkata, sebuah kereta melanggar seorang penduduk Yahudi, Asher Palmer dan anaknya berusia setahun menyebabkan mereka mati.

Polis menyalahkan penduduk Palestin yang melontar batu ke arah kereta itu hingga menyebabkan kemalangan berkenaan.

Dalam pada itu, polis rejim Zionis mengesahkan masjid itu terbakar teruk dan perkataan ‘Tanda Harga’ dalam bahasa Ibrani diconteng pada tembok masjid.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam serangan itu dengan berkata ia bertentangan dengan nilai asas rejim itu.

Bagi sebahagian pelampau Yahudi, slogan ‘Tanda Harga’ melambangkan bayaran balik bagi setiap kekangan Israel terhadap penempatan di Tebing Barat yang ditawan Israel selepas Perang 1967 dan wilayah rakyat Palestin berharap dapat membentuk sebuah negara merdeka.

Bulan lalu, dua masjid menjadi sasaran serangan penduduk Yahudi berikutan tindakan tentera Israel merobohkan sebuah rumah yang dibina tanpa kebenaran rejim itu di penempatan Yahudi.

“Serangan semalam mempunyai ciri-ciri ‘Tanda Harga’ dan kami membentuk pasukan khas untuk menyiasatnya,” kata Ketua Polis tempatan, Ran Levi.

Penduduk, Jamal Zangriya memberitahu Radio Israel: “Kami percaya pelampau dari luar kampung ini yang melakukannya.” Dia merujuk kepada kegiatan rabbi Yahudi dari Safed, sebuah bandar berhampiran yang bertanggungjawab meghasut pendatang Yahudi menyerang penduduk keturunan Arab. - AP

Comments