Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Sungai Najis Babi

Thursday, 27 October 2011


TASEK GELUGOR: Pencemaran Sungai Kreh di sini yang berpunca daripada najis babi dari ladang ternakan di Kampung Selamat mungkin satu isu lapuk kerana ia sudah dibangkitkan penduduk yang terbabit sejak lebih sedekad lalu. 

Namun, hingga kini masalah berkenaan tidak berubah dan kesannya bukan saja dirasai penduduk di Kampung Air Melintas Kecil di sini, malah beberapa perkampungan lain seperti Permatang Berangan, Lahar Tembun, Pokok Machang dan Permatang Manggis.

Saban hari penduduk terpaksa menghidu bau busuk yang meloyakan, selain kira-kira 500 petani yang mengusahakan 500 hektar sawah padi menanggung kerugian kerana tanaman padi kurang memuaskan akibat air yang tercemar dengan najis babi.

Apabila kerajaan negeri memperkenalkan kempen Pulau Pinang Hijau Bersih tahun lalu dalam usahanya mengubah persekitaran di negeri ini, ramai penduduk menarik nafas lega kerana merasakan masalah yang dihadapi sejak sekian lama itu bakal berakhir. 

Bagaimanapun, sejak kempen itu dilancarkan sehingga kini, penduduk masih tidak dapat melihat pelaksanaan sebarang program di kampung mereka, walaupun satu daripada inisiatif program terbabit adalah membersihkan sungai. 

Penduduk Kampung Air Melintas Kecil, Rahim Daud, berkata penduduk masih menunggu pelaksanaan program itu bagi membolehkan Sungai Kreh yang tercemar dengan najis babi dapat diberi nafas baru, sekali gus memberi kehidupan lebih baik. 

“Sehingga kini, tiada satu program untuk mengatasi masalah pencemaran itu diadakan di sini. Kami amat berharap supaya sesuatu dapat dilakukan bagi mengatasi pencemaran Sungai Kreh yang bukan saja menjejaskan kehidupan seharian penduduk, tetapi beratus-ratus pesawah yang menanggung kerugian,” katanya. 
Rahim yang mengusahakan sawah padi, berkata hasil tanaman padi semakin berkurangan kerana terpaksa menggunakan air dari sungai yang tercemar dengan najis babi. 

“Air itu mempunyai kandungan baja yang tinggi...walaupun padi kami nampak subur tetapi isinya kurang. Pokok padi kami juga cepat rebah kerana cepat membesar,” katanya. 

Difahamkan, kadar kandungan baja di Sungai Kreh tidak sesuai untuk tanaman padi dan Jabatan Pertanian sedang melakukan kajian di sebuah kawasan khas bagi membuktikan bahawa tanaman padi di situ terjejas kerana pencemaran sungai. 

Sebelum ini, ada cadangan pusat penternakan babi di Kampung Selamat dipindahkan ke Batu Kawan, Seberang Prai Selatan (SPS) tetapi setakat ini tiada perkembangan lanjut. 

Seorang pesawah di Kampung Air Melintas Kecil, Ibrahim Ismail, berkata hasil tanaman padinya berkurangan secara mendadak kerana menggunakan sumber air dari sungai itu. 

“Jika dilihat pada setangkai padi, hanya 70 peratus mempunyai isi manakala selebihnya kosong. Memang kalau dilihat ia subur, tetapi tidak baik kerana sebenarnya memudahkan tanaman padi untuk rebah dan seterusnya mati. 

“Saya harap masalah ini diatasi segera kerana membabitkan mata pencarian kami. Kalau tidak ada perubahan, makin teruklah hasil tanaman kami terjejas,” katanya. 

1 comments:

ahmad faizal said...

sangat tidak wajar..sepatutnya ladang2 ini dilengkapi dengan sistem pembetungan yang sempurna..habis rosak pertanian yang dilakukan oleh penduduk kawasan terbabit

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat