Belum Pilihanraya, KDN Kata Biometrik Telah diubahsuai

Beberapa syarikat pengurus bagi Program 6P akan disiasat polis selepas dikenal pasti menggunakan khidmat perunding teknologi maklumat (IT) tidak sah untuk mengubah suai peralatan biometrik yang digunakan bagi program berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata hasil pemantauan sehingga kelmarin pihaknya mendapati kira-kira 600 peralatan dikendalikan syarikat pengurus sudah diubah suai.


Menurutnya, tindakan pihak terbabit menyebabkan peralatan itu tidak lagi memenuhi spesifikasi ditetapkan kerajaan untuk kegunaan program berkenaan. “Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan kerosakan kepada sistem yang diselaraskan kementerian.

“Ia menyebabkan data yang diambil daripada pekerja dan pendatang asing tanpa izin gagal dimuat naik ke dalam pelayar Jabatan Imigresen untuk dijumlahkan dengan statistik lain yang diterima dari seluruh negara,” katanya, melalui satu kenyataan, di sini, semalam.

Alwi berkata, semua syarikat pengurus diberi amaran keras supaya tidak melakukan sebarang percubaan seumpama itu kerana gangguan sistem berkenaan berisiko mengeluarkan slip Nexcode pendaftaran pendatang asing tanpa izin dengan nombor kod rujukan berganda. Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku pendatang asing tanpa izin akan berdepan masalah ketika proses pemutihan dan pengampunan.

“Syarikat pengurus yang memerlukan bantuan untuk menyelesaikan kes seumpama ini diminta merujuk kaunter setempat di kementerian.

“Kaunter yang ditubuhkan sejak Isnin lalu sebagai inisiatif membantu syarikat pengurus menangani masalah teknikal sekiranya ada,” katanya.

Sehingga kelmarin, sejumlah 1.68 juta pendatang asing tanpa izin dan pekerja asing sah sudah mendaftar melalui program berkenaan, di mana 830,837 adalah pekerja asing sah. Program 6P adalah rancagan penyelesaian menyeluruh membabitkan urusan pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran pekerja asing di negara ini.

Comments