Munajat Anak Kelantan Himpun 10,000 Pemuda


KOTA BHARU - Seramai 10,000 golongan pemuda bakal menyertai himpunan Munajat Anak Kelantan di Padang Perdana, di sini, esok, sebagai sokongan kepada Kerajaan Negeri untuk mempertahankan Kelantan dan memohon keberkatan Allah. 

Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, program yang bermula jam 3 petang hingga 11 malam itu akan menghimpunkan golongan pemuda Kelantan seluruh negeri untuk bermunajat. 

”Pada malamnya diadakan solat hajat memohon keberkatan Allah supaya memberkati masyarakat negeri ini dan memohon supaya pihak berkenaan mengembalikan hak royalti minyak. 

”Seterusnya disertai dengan bacaan al-Quran dengan khatam 100 kali. Ia diadakan sebagai tanda sokongan golongan muda dan belia terhadap Kerajaan Negeri,” katanya kepada :Sinar Harian, s:emalam. 

Menurutnya, aktiviti solat hajat dimulai jam 6.30 petang sehingga solat Isyak dan diakhiri dengan penyampaian amanat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Menurutnya, program itu diadakan bagi memohon terus kepada Allah berhubung segala masalah yang dihadapi rakyat Kelantan kerana Allah sebaik-baik tempat pergantungan dan tempat memohon segala pertolongan. 

”Diharapkan golongan pemuda di negeri ini dapat hadir pada program berkenaan dan turut memberikan sokongan padu kepada perjuangan Kerajaan Negeri selama ini. 

”Ini kerana isu royalti minyak adalah hak bersama rakyat Kelantan dan diharapkan ia dapat dikembalikan segera seperti yang diterima rakyat Terengganu,” katanya. 

Abdul Latiff berkata, Terengganu menerima pembayaran wang royalti yang berjumlah RM670 juta pada Mac lalu sebelum diikuti RM150 juta dan bakinya RM118 juta dijangka diterima bulan depan.

Comments