Doktor dan Jururawat Maut Lemas


KUCHING: Majlis makan malam yang dirancang malam tadi bagi meraikan Hari Ibu bertukar menjadi kenduri tahlil berikutan kematian seorang doktor pakar kardiologi ketika cuba membantu rakannya lemas di pusat perkelahan Air Terjun di Kampung Giam, dekat sini, pagi semalam.

Dr Mohd Azri Dollah, 27, dari Kampung Semariang, dekat sini, lemas selepas terjun ke dalam sungai untuk membantu jururawat yang juga rakan sekerjanya, Nor Fazila Abdul Kadir, 23, yang tergelincir sebelum lemas di dalam lubuk sedalam empat meter itu. Kejadian yang meragut dua nyawa itu berlaku pada kira-kira jam 11.30 pagi ketika kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan mereka berkelah di situ.

Ibu Dr Mohd Azri , Sharifah Mordiah Wan Abu Bakar, 57, berkata Allahyarham sudah mengatur masa bagi mengadakan majlis sambutan Hari Ibu dan menunggu seorang ahli keluarga yang dijangka pulang ke rumah, malam tadi.

“Saya menerima khabar sedih itu sebaik selesai menunaikan solat Zuhur apabila dihubungi seseorang yang tidak dikenali yang menggunakan telefon bimbit milik arwah.

“Selepas tiba di hospital, saya tidak mampu berkata apa-apa sebaik menatap wajah arwah yang sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurutnya, arwah anak yang baik dan memuji tindakannya mahu menyelamatkan nyawa orang lain walaupun dia sendiri terkorban.

Mayat Dr Mohd Azri yang juga pakar kardiologi di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak dan Nor Fazila ditemui penduduk kampung terbabit yang turut membantu mencari dan menyelamat kira-kira setengah jam selepas kejadian.

Difahamkan, dua rakan mangsa yang terselamat bergegas mendapatkan bantuan penduduk berdekatan selepas melihat kedua-duanya terkapai-kapai sebelum tenggelam.

Seorang penduduk, Kulen Lises, 39, yang turut membantu menyelamatkan mangsa berkata, Nor Fazila dikatakan sudah tidak bernyawa ketika ditarik ke tebing.

“Ketika saya mengangkat mangsa lelaki, saya melihat nadi di tangan masih bergerak dan cuba memberi bantuan pernafasan tapi tidak berjaya sebelum mendapati dia sudah meninggal dunia.

“Saya bersama rakan, (Velindo Bidak, 23,) turun ke lubuk berkenaan dan menyelam selama kira-kira 20 minit sebelum menemui mayat kedua-dua mangsa di dasar lubuk itu.

“Kami terpaksa memakai kaca mata penyelam berikutan keadaan air agak keruh ketika kejadian. Malah, saya terkejut apabila melihat darah keluar dari mulut, telinga dan hidung mangsa lelaki,” katanya.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk dikebumikan.

Comments