SEGAMAT: “Saya terkejut apabila tiba-tiba bumbung runtuh menyebabkan saya bergegas mencari tiga anak dan seorang anak saudara untuk menyelamatkan diri,” kata Kasminah Saman, 44, menceritakan detik mencemaskan apabila rumahnya di Felda Chemplak, Labis di sini, roboh dirempuh lori yang dipandu suaminya, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, Kasminah berkata, dia berada di dapur dan menyediakan sarapan manakala empat kanak-kanak terbabit berada di ruang tamu menonton televisyen.
“Saya terus mencari semua kanak-kanak itu selepas melihat timbunan kayu dan atap runtuh.
“Saya menjerit nama mereka sekuat hati dan syukurlah, mereka menyahut panggilan dari bawah timbunan kain di ruang tamu rumah.
“Selepas menemui mereka, barulah saya sedar dahi saya luka manakala tangan kanan amat sakit dan berehat di kawasan lapang bersama kanak-kanak berkenaan,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian dia sempat menutup dapur gas dan perkara paling membimbangkannya ialah terkena renjatan elektrik.
Sementara itu, suaminya, Salleh Jaafar, 44, yang memandu lori berkenaan berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya untuk bersarapan.
Tiba-tiba katanya, dia melihat sebuah motosikal muncul dari arah bertentangan menyebabkannya mengelak ke kiri jalan supaya tidak bertembung dengan kenderaan itu.
“Malangnya lori terbabas dan merempuh bahagian sisi rumah di lereng bukit dan diperbuat daripada papan. “Saya cuba memberhentikan lori namun ia mengambil masa dan selepas hampir keseluruhan rumah musnah barulah kenderaan itu berhenti,” katanya.
Menurutnya, ketika itu lori majikannya hanya membawa sedikit muatan kelapa sawit dan bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku walaupun kerugian hampir RM40,000.
Katanya, buat sementara waktu dia akan menumpang di rumah ibunya di Felda Chemplak.
“Semua kanak-kanak dan isteri dihantar ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, namun isteri terpaksa ditahan di wad kerana tangan kanannya patah,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat berhubung kejadian itu.
Comments