KAJANG: Angkara menegur empat remaja supaya berperangai baik, seorang lelaki berusia 33 tahun dibelasah remaja itu hingga menyebabkan telinga kirinya kemungkinan pekak dalam kejadian di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini.
Kejadian kira-kira jam 11.30 malam Selasa lalu turut menyebabkan mangsa lebam di mata dan badan.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Syukri berkata, sebelum kejadian, dia bersendirian membeli burger dan melihat remaja terbabit melepak di depan kedai berkenaan dan berkelakuan tidak senonoh serta membuat bising.
“Saya cuba menegur mereka dengan cara baik supaya tidak berkelakuan seperti itu, namun musibah menimpa apabila mereka naik berang lalu terus memukul telinga, muka dan badan saya.
“Akibat pukulan itu, telinga kiri saya kini berdengung selain berdarah,” katanya.
Syukri berkata, dia merayu supaya tidak dicederakan namun rayuan itu tidak diendahkan remaja terbabit.
Katanya, selepas melihat telinganya keluar darah, semua remaja itu yang ketakutan berlalu pergi meninggalkannya seorang diri.
“Saya yang kesakitan mendapatkan rawatan di hospital berdekatan sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan doktor memberitahu gegendang telinga kiri pecah dan boleh menjadi pekak,” katanya yang terkilan apabila tiada seorang pun tampil membantu walaupun kawasan itu menjadi laluan utama kenderaan.
Menurutnya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Kajang Rabu lalu, untuk melindungi diri dan mahu pihak berkuasa menyiasat terperinci kes itu bagi mengelak kejadian demikian berlaku ke atas orang lain.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Comments