Didakwa Cabul

      

KOTA KINABALU: Seorang ustaz yang sepatutnya memberikan didikan agama kepada muridnya sebaliknya mengambil kesempatan apabila dipercayai mencabul dua murid perempuan di sekolah kebangsaan di Sandakan, dekat sini, ketika mereka belajar di sekolah itu antara 2004 hingga 2008.

Kejadian itu didedahkan seorang lelaki yang mendakwa dua anak saudara perempuannya itu yang kini 14 dan 15 tahun dicabul ustaz ketika belajar di sekolah tersebut.

Bagaimanapun, laporan kejadian itu hanya dibuat petang kelmarin oleh lelaki terbabit yang berusia 50 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan selepas kedua-dua anak saudaranya itu mengadu mengenai kejadian berkenaan kepadanya Isnin lalu.

“Menurut pengadu, kedua-dua anak saudaranya mendakwa ustaz terbabit dipercayai memasukkan tangannya ke dalam baju mereka ketika berada dalam bilik darjah. Selain itu, pengadu juga mendakwa ustaz terbabit meraba paha mereka.

“Kejadian itu dikatakan sering berlaku ketika mereka belajar dalam tahun satu hingga tahun enam. Pengadu juga mendakwa, ibu bapa anak saudaranya itu tahu mengenai kejadian berkenaan, tetapi tidak membuat aduan polis kerana tidak memahami tindakan ustaz itu adalah jenayah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber itu berkata, pengadu memaklumkan ada ramai lagi murid yang menjadi mangsa ustaz berkenaan tetapi kejadian itu dibiarkan begitu saja.

Sementara itu, sumber berkata, ibu bapa kedua-dua murid itu dipercayai daripada keluarga miskin dan tidak memahami proses undang-undang menyebabkan mereka tidak mengambil berat mengenai kejadian itu.

Setakat ini, polis juga belum memanggil kedua-dua murid itu untuk dirakam keterangan.

“Hanya selepas mengambil keterangan daripada mereka, polis akan memanggil ustaz terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Comments