Sivakumar dan 19 Ditahan Polis

Speaker V. Sivakumar adalah antara 19 orang yang ditahan oleh pihak polis ketika pelancaran mogok lapar di Wisma DAP jam 11.00 pagi tadi.

Selain itu turut ditahan ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat MP M Kulasegaran dan enam wakil rakyat Pakatan Rakyat iaitu Keshwinder Singh (DAP-Malim Nawar), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Chang Lih Kang (PKR-Teja), Leong Mee Meng (DAP-Jalong), Thomas Su (DAP-Pasir Pinji) dan Lim Pek Har (DAP-Menglembu).

Adun Titi Serong Drs Khalil Idham Lim memaklumkan dalam blognya bahawa kesemua yang ditahan kini berada di IPK Ipoh untuk soal siasat.

"Saya menemui ADUN Sungkai Sivanesan sebentar tadi dan dia memaklumkan dia telah cuba memohon dan merayu kepada pengawal pintu masuk IPK Ipoh untuk masuk menghantar ubat kepada Ahli Parlimen Ipoh Barat,Kulsegaran namun tidak dibenarkan.

"Difahamkan YB. Kula sejak beberapa hari ini mengalami masalah kesihatan. Bayangkan untuk masuk menghantar ubat juga tidak dibenarkan," katanya

Sebelum ini, lima orang dari firma pengurusan majlis yang dilantik Pakatan Rakyat ditahan polis ketika cuba menguruskan mogok lapar di luar Wisma DAP di sini jam 7 pagi tadi.

Selain ditahan, pihak polis juga merampas sebiji belon besar yang sepatutnya dilepaskan ke udara ketika pelancaran mogok lapar nanti.

Menurut laporan sebuah laman web, petugas DAP mendakwa belon berharga RM2,000 itu ditempah khas untuk pelancaran tersebut dan ditulis dengan 'Daulat Tuanku' dan 'Bubarkan DUN'

Sumber: Harakahdaily

Comments