Politik Perkauman Dijauhi, Dekati Pemimpin Berkebolehan

Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak politik perkauman yang dibawah oleh Umno-Barisan Nasional dan menegaskan bahawa sokongan untuk pemimpin harus berpaksi kepada kebolehan dan keikhlasan mereka membela rakyat semata-mata.

Berucap kepada kira-kira empat ribu orang di Guar Perahu semalam, Anwar berkata pengundi harus mengutamakan sifat amanah, ketanggungjawaban dan keberanian yang ada pada seseorang dalam menyokong atau menolak mereka.

“Umno marah apabila kita menyokong Lim Guan Eng, tetapi apa bezanya Guan Eng dan Koh Tsu Koon? Tidak seperti Koh Tsu Koon yang sentiasa setuju, Guan Eng adalah seorang yang berwibawa, yang berkebolehan dan mempunyai pendapat yang tegas,” kata Anwar.

Anwar berkata dalam konteks sama, PKR menawarkan pengundi di Penanti seorang calon yang berwibawa untuk mendokong perjuangan membela rakyat miskin dan pada masa sama memperkasakan kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.

“Pada 31 haribulan nanti saya rayu pengundi untuk memilih calon kita Dr Mansor Othman. Siapa beliau? Beliau adalah pensyarah dan professor di Universiti Sains Malaysia, dan pengasas program Tekun – dana pembangunan usahawan yang disebut-sebut hari ini,” tambah Anwar.

Anwar berkata masyarakat akan lemah sekiranya nasib mereka diletakkan di tangan pemimpin yang lemah etika dan prinsip serta cenderung berkonfrontasi.

Pilihanraya kecil Penanti menyaksikan calon KeADILan Dr. Mansor Othman dicabar oleh calon bebas Nai Khan Ari Nai Keow, Aminah Abdullah and Kamarul Ramizu Idris.

BN pimpinan Najib mengambil keputusan bersejarah tidak bertanding di Penanti, setelah parti itu kalah pada keempat-empat pilihanraya kecil di Semenanjung semenjak pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Sumber: Suara Keadilan


Comments