PKR Ubah Strategi Kempen


SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil pendekatan mengubah strategi kempen menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan (DUN) Penanti ekoran keputusan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya itu.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution berkata, jawatankuasa parti memutuskan bahawa pendekatan menyerang BN yang pernah digunakan sebelum ini akan diubah dengan kaedah 'menerang dan memujuk' pengundi di kawasan tersebut.

“Kali ini kita bertindak berbeza, tidak sama dengan apa yang dilakukan sebelum ini. Kempen ini lebih menjurus kepada penerangan kepada rakyat tentang kejayaan serta pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini,” katanya, semalam.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, tidak timbul isu jentera parti akan bertindak sambil lewa walaupun BN telah memutuskan untuk tidak menghantar calon dalam pilihan raya tersebut.

Katanya, beliau telah mengarahkan agar setiap jentera bahagian PKR sentiasa bersiap sedia seperti pilihan raya kecil sebelum ini walaupun tidak menerima saingan sengit daripada calon yang bertanding.

“Untuk tujuan ini, saya sudah mengatur pertemuan dengan jentera parti pada 22 Mei bagi menerangkan tindakan yang sepatutnya digunakan dalam pilihan raya tersebut.

“Tetapi apa yang pasti, kita akan berjumpa dengan rakyat seperti sebelum ini. Jentera akan terangkan satu persatu hasrat dan perjuangan yang dibawa Pakatan Rakyat,” katanya.

Saifuddin berkata, terdapat kebimbangan pihaknya bahawa pilihan raya kecil kali ini mencatatkan sejarah terendah peratusan keluar mengundi.

Menurutnya, dalam keadaan ini, rakyat merasakan tidak perlu keluar menjalankan tanggungjawab setelah BN membuat keputusan tidak menghantar calon.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin menolak dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Muhamad Hasan yang mendedahkan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya baru.

“Beliau (Muhamad Hasan) tiada hak mengeluarkan kenyataan tersebut. Ini perkara yang besar, sebarang kenyataan berhubung perkara ini hanya akan dikeluarkan majlis pimpinan PKR,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Comments