Hisham: Semua Sudah Sedar

Pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata semua ketua bahagian dan ADUN di Terengganu telah sedar bahawa mereka harus mengutamakan kepentingan negeri dan parti bagi menyelesaikan masalah di negeri itu.

"Ini adalah pertama kali, semua pihak yang berkepentingan, dibawa bersama dalam dua perbincangan. Dan hari ini saya masih berjumpa dengan ketua-ketua bahagian tertentu.

"Alhamdulillah kita sudah sampai kepada satu tahap yang mana semua pihak sedar bahawa kepentingan negeri dan parti harus diletakkan sebagai keutamaan.

"Dan persepsi benar atau tidak benar atau separuh benar bahawa wujudnya perpecahan dan puak-puak tertentu, perlu dikikis," kata Hishammuddin dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Semalam beliau mengadakan perjumpaan dengan kesemua ketua Umno bahagian dan ADUN BN Terengganu untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Beliau juga mahu pemimpin-pemimpin terbabit supaya sentiasa bermusyawarah untuk menyelesaikan masalah di Terengganu.

"Berdasarkan perkara-perkara pokok seperti kesetiaan kepada raja, dan kedudukan wakil rakyat BN yang perlu memikul tanggungjawab dan amanah yang tinggi, sentiasalah bermusyawarah sesama kita untuk menyelesaikan sesuatu (masalah) tanpa dibincangkan di khalayak ramai," katanya.

Temui Akar Umbi

Sehubungan itu, beliau meminta agar ketua-ketua bahagian menyampaikan mesej beliau itu kepada ahli-ahli akar umbi.

Dalam sidang media yang sama, Hishammuddin berkata beliau juga akan turun menemui akar umbi di peringkat bahagian di Terengganu.

"Dalam masa satu atau dua mingggu lagi, saya akan adakah mesyuarat pengurusan (Umno negeri) dan turun ke bahagian-bahagian.

"Insya Allah, ia sebagai titik permulaan untuk merapatkan barisan kita sebagai tanda kebangkitan Umno menjelang pilihanraya ke-13," katanya.

Sementara itu bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan pertemuan dengan Hishammudin, yang juga seorang naib presiden Umno, malam tadi sebagai "OK" dan "positif".

"Apabila semua orang duduk bersama, keadaan akan bertambah baik," katanya, yang juga pengerusi Mara, ketika ditemui di luar pejabatnya petang ini.

Idris bagaimanapun enggan mengulas lanjut kemelut di Terengganu.

Menurutnya, kenyataan mengenai perkara tersebut sepatutnya datang daripada Hishammudin selaku pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Beliau juga enggan mengulas sama ada akan ada pertemuan susulan selepas pertemuan semalam.

"Itu kena tanya pengerusi perhubunganlah," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber: Malaysiakini

Comments