Belum Putus Tanding Naib Presiden


SHAH ALAM – Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali masih belum memutuskan sama ada beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden parti itu pada muktamar Jun ini.

Beliau yang juga Exco Selangor berkata, akan mendapatkan nasihat daripada Timbalan Pesuruhjayanya dan Ketua Penerangan Pas negeri sebelum membuat keputusan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau berkemungkinan mempunyai peluang memenangi jawatan berkenaan sekiranya bertanding berdasarkan pengalamannya memegang jawatan tersebut selama enam tahun.

“Saya pernah memegang jawatan berkenaan (Naib Presiden) enam tahun iaitu selama tiga penggal. Jadi mungkin bila saya kembali, peluangnya masih ada.

“Belum kata mahu bertanding, bergantung kepada penasihat-penasihat saya. Saya tengok macam mana penasihat saya kata dan belum memutuskannya,” katanya ketika mengulas sama ada beliau akan menghantar borang pencalonan bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan pucuk pimpinan Pas Pusat.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya III, Iskandar Abdul Samad dan Ketua Penerangan, Roslan Shahir.

Menurutnya, dalam pemilihan yang diadakan serentak dengan Muktamar Tahunan Pas kali ke-55, Pas Selangor mencalonkan beberapa pemimpin bagi bertanding untuk jawatan AJK Pas Pusat dan jawatan tertentu.

Antara individu yang dicalonkan adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Che Rosli Che Mat dan Iskandar Abdul Samad serta bekas Ketua Dewan Pemuda, Sallehen Mukhyi.

Manakala, Ketua Muslimat, Wan Hasrina Wan Hassan mendapat pencalonan bagi bertanding jawatan Timbalan Ketua Muslimat Pusat dan AJK Pas Pusat.

“Pemilihan akan diadakan pada 5 Mei selepas solat Jumaat, dari jawatan Timbalan Naib Presiden, Presiden dan 18 AJK Pusat. Saya diberitahu oleh pengerusi jawatankuasa pemilihan bahawa keputusan akan diumumkan as and when bila masa sesuai, bukan seperti dulu keputusan diumumkan pada akhir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hassan berkata, Pas tidak akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pemilihan parti berkenaan 4 Mei ini kerana tiada budaya rasuah dalam parti berkenaan.

“Ustaz Hadi membuat kenyataan dan telah diadakan mesyuarat dengan jawatankuasa disiplin, mereka memutuskan tiada rasuah dalam Pas dan saya juga percaya.

“Saya rasa, sebagai Pesuruhjaya di Selangor, saya yakin tiada langsung gejala rasuah di negeri ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Comments