Ahmad Awang Tolak Pencalonan


Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang menolak semua pencalonan termasuk menarik diri daripada mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Dua lagi pencalonan yang ditolaknya ialah untuk kerusi jawatankuasa PAS pusat dan jawatankuasa Dewan Ulama.

Beliau adalah antara tiga naib presiden sekarang. Dua lagi ialah Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Mohamad telah mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden. Manakala Husam yang turut dicalon jawatan yang sama, belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Seramai 16 orang dicalonkan bertanding jawatan naib presiden kali ini - bilangan yang tertinggi dalam sejarah pemilihan PAS.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden kerana ingin menumpukan kepada usaha-usaha dakwah.

Selain itu, katanya, calon-calon bagi jawatan tersebut lebih muda daripadanya dan sesuai untuk menggalas tugas naib presiden bagi membantu pucuk pimpinan parti.

Ditanya sama ada beliau bermaksud menggesa pemimpin yang sudah berumur mengundur diri daripada perebutan kerusi nombor dua dalam PAS itu, Ahmad hanya berseloroh berkata:

"Saya rasa saya yang paling tua (antara semua calon nain presiden), sudah 74 tahun. Tidak ada dah yang lebih tua daripada saya."

Mengulas lanjut, Ahmad juga berharap lebih ramai calon naib presiden akan menarik diri.

"Jumlah (calon) sekarang ini agak ramai. Kalau menang pun, belum tentu dapat sokongan terbanyak," katanya.

Ahmad menolak tanggapan wujudnya kompromi yang mendorong beliau menarik diri.

"Belum ada lagi kompromi," katanya.

Ahmad berkata, surat penolakan rasmi kesemua pencalonan tersebut, telah dihantar kepada jawatankuasa pemilihan PAS semalam.

Sumbar: Malaysiakini

Comments