MIC Mengamuk


Bagaimana MIC mahu menjuangkan isu kaum India apabila parti itu hanya bertanding sembilan daripada 222 kerusi Parlimen, soal exco Pemuda PKR (AMK), A Kumaresan.

"Maka, saya tidak nampak di mana logiknya yang mengatakan MIC mampu untuk membantu meningkatkan sosio ekonomi masyarakat India.

"Apa yang mereka dapat lakukan di Dewan Rakyat dengan memiliki Ahli Parlimen yang paling kurang?" soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Isnin lalu presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam berkata parti itu kekal dengan pendirian bertanding sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, A Kumaresan berkata kerusi yang ditandingi harus menjadi kayu pengukur bagi sesebuah parti untuk mendapatkan kuasa politik.

"Dalam hal ini, MIC dilihat tidak lagi menjadi parti tunggal yang memperjuangkan kepentingan melibatkan masyarakat India kerana kerusi yang ditandingi oleh calon India dalam Pakatan Harapan adalah lebih banyak daripada MIC.

"MIC hanya dilihat sebagai macai kepada tuannya iaitu Umno dan kuasa politik yang dimiliki oleh MIC adalah sangat minima," katanya.

Katanya selain itu tanpa bantuan Umno, MIC juga tidak mampu meraih sokongan pengundi bandar dan orang Melayu.

"Oleh yang demikian, sudah pasti dan jelas bahawa MIC tidak dapat bersuara dalam hal berkaitan kepentingan kaum India," katanya.

Comments