HARAPAN Takut Dengan Kempen Undi Rosak


Penggal parlimen semakin menghampiri tarikh luputnya. Baik pemerintah mahupun pembangkang sedang mengatur pelan dan strategi untuk menghadapi pilihanraya umum ke empat belas (PRU14). Sebuah pilihan raya yang dijangka paling epik.

Barisan pembangkang yang selama ini menghadapi masalah keterbatasan akses di media arus perdana dalam semua pilihan raya umum sejak enam puluh tahun yang lalu, sedang giat mempromosi pakej tawaran mereka kepada rakyat.

Penjenamaan semula perikatan pembangkang dari namanya Pakatan Rakyat (yang kemudiannya sah menghembuskan nafas terakhir dua tahun lepas mengikut jejak mendiang Barisan Alternatif sekitar 2005) kepada Pakatan Harapan (akronimnya HARAPAN) dijangka dapat menggugat kerajaan BN.

Apatah lagi kali ini, ikon reformasi 1998 - Anwar Ibrahim melalui partinya PKR bersatu semula dengan musuh politiknya yang paling ketat iaitu Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri selama dua puluh dua tahun. Beliau menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ini sudah cukup menakutkan BN yang saban hari menjalankan jarumnya di kaca televisyen dan akhbar, menghentam Dr Mahathir, bekas presiden Umno paling lama dalam sejarah parti itu.

Selain DAP yang mantap kerja akar umbinya dan Parti Amanah Negara (AMANAH), parti serpihan PAS yang lahir selepas kalah dalam pemilihan dalaman parti – kelihatan di atas kertas, perikatan ini bakal meratah mudah BN yang sudah terlalu tua, korup dan membebankan rakyat terbanyak itu.

Tak semena-mena, suasana tertekan menyelubungi HARAPAN apabila tawaran mereka yang menganjurkan idea Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika berjaya menguasai kerajaan pusat ditolak oleh sebahagian penyokong pembangkang sendiri.

Penolakan ini menjelmakan sebuah kempen baru di alam maya dengan hashtag #UndiRosak. Trend ini pada mulanya kecil, tetapi semakin lama semakin merebak dan disambut oleh warga Internet, khususnya anak muda non partisan.

Status dengan hashtag itu yang dimainkan oleh 'pahlawan papan kekunci' kebanyakannya bernada sinis, sarkastik, berbau nakal, 'menganjing' telah dibalas dengan kasar, serius dan marah-marah oleh penyokong HARAPAN.

Pendukung HARAPAN melabelkan mereka sebagai bodoh! Entah kenapa, status nakal-nakal, melawak ini dilihat mampu mengancam, mengganggu, 'kacau daun' dan wajib dipatahkan segera.

Antara satu cara untuk membanteras mereka adalah dengan melemparkan tuduhan yang mereka ini budak 'upahan' Najib dan agenda Umno.

Turut menulis tentang bahayanya kempen #UndiRosak ini kepada sistem demokrasi dan hak asasi ialah aktivis-aktivis serta NGO yang pro-HARAPAN.

Akhirnya, pimpinan HARAPAN juga telah turut terheret sama memberi komentar. Mereka mula menaikkan status mengajak rakyat mengundi dan jangan sesekali terpengaruh dengan 'langkah tidak patriotik' kumpulan #UndiRosak ini.

Ada juga pimpinan tertinggi parti pembangkang sampai mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemain kempen #UndiRosak ini.

Ternyata kempen #UndiRosak ini semakin tidak boleh dipandang enteng.

Comments