Bukan Kubu PAS


Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Begitu sambutan PKR terhadap PAS yang sekali lagi mengumumkan mahu bertanding tiga penjuru di Permatang Pauh, kubu kuat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Itu hak PAS untuk bertanding, kita hormati keputusan dia. Dan kita bersedia untuk berdepan dengan PAS.

"Kita serahkan pada pengundi untuk buat penilaian tapi saya rasa pengundi Permatang Pauh bijak buat keputusan dan mereka dah lama beri sokongan kuat pada PKR.

"Kita yakin pengundi Permatang Pauh akan terus beri sokongan pada PKR," kata pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman.

Semalam, akhbar Umno Utusan Malaysia melaporkan, PAS menegaskan akan meletakkan calon di Permatang Pauh pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof keputusan itu dibuat kerana parlimen berkenaan merupakan kubu kuat PAS sebelum ia dipinjamkan kepada PKR.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ni, Mansor berkata mereka yakin pengundi akan tetap memberi sokongan kepada parti itu.

Mansor turut memberitahu, parlimen Permatang Pauh tidak pernah menjadi kubu PAS.

"Permatang Pauh kubu tradisi Umno sebelum ini. Dulu PAS pernah menang sekali saja, selepas itu Umno dan kemudian PKR," ujarnya.

Sedia tiga penjuru

Sementara itu, bagi Ketua PKR cabang Permatang Pauh Amir Ghazali berkata, akar umbi di kawasan berkenaan telah mula melakukan gerak kerja bagi menghadapi pertandingan tiga penjuru.

"Gerak kerja kita sekarang ke arah pilihan raya umum dan ke arah pertandingan tiga penjuru. Kita tak boleh buat apa hanya akan kukuhkan Pakatan Harapan dan bersedia berdepan dengan BN dan PAS.

"Rakyat di Permatang Pauh bijak pandai dan mereka tahu siapa sebenarnya yang boleh tadbir di Permatang Pauh," kata Amir.

PKR menawan Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya umum sejak 1999.

Pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, PKR meletakkan Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon dan pada 2008, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali bertanding.

Kali terakhir PAS bertanding di Permatang Pauh ialah pada 1995 dalam pertandingan tiga penjuru bersama BN dan DAP. Namun PAS tewas dengan majoriti 23,515 kepada Anwar yang ketika itu mewakili BN.

Hanya sekali sahaja PAS memenangi kerusi Permatang Pauh iaitu pada pilihan raya umum 1978.

Comments