64 Juta Set Data Peribadi Telah Dicuri


PKR melahirkan kebimbangan terhadap kebocoran berterusan maklumat peribadi di Internet, terbaru berkaitan data 220,000 penderma organ seperti didedahkan sebuah portal teknologi semalam.

“Kejadian ini amat merisaukan kerana ia melibatkan maklumat kesihatan dan hubungan peribadi penderma organ,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Lowyat semalam melaporkan mereka boleh mengesahkan fail-fail melibatkan maklumat terperinci penderma organ bocor di atas talian sejak September 2016 lagi, termasuk nombor kad pengenalan, umur, jenis darah, nombor telefon dan e-mel.

Dalam kenyataan hari ini, Fahmi berkata kebocokan kali ini adalah yang keempat selepas melibatkan data syarikat telekomunikasi (46.2 juta data peribadi), laman web pekerjaan (17 juta data peribadi), dan beberapa badan perubatan (80,000 data peribadi).

“Ini bermaksud hampir 64 juta set data peribadi telah dicuri di Malaysia yang kini diketahui umum, itu pun kerana ada pihak seperti Lowyat.net yang melaporkan.

“Kita tidak tahu apakah ada lagi sistem atau pangkalan data terutama yang diurus badan atau agensi kerajaan yang telah dibolosi.”

Comments