Tilik Kantoi Ketika Menyamun

KAJANG – Ketaksuban sekumpulan empat lelaki Indonesia bersenjatakan parang dan kerambit terhadap ilmu pelangkah yang dipercayai dapat melindungi penjenayah daripada ditahan tidak bertahan lama apabila tiga daripadanya dapat ditangkap di Sungai Chua di sini.

Suspek-suspek berusia lingkungan 30 dan 40-an tersebut ditahan pada pukul 9.05 malam, 7 Oktober lalu selepas polis menjalankan siasatan mengenai satu kejadian pecah rumah di Batu 14, Hulu Langat yang mengakibatkan mangsa kerugian RM8,000 sehari sebelum itu.

KERAMBIT, pedang dan barang kemas antara yang dirampas daripada tiga penjenayah Indonesia yang ditahan dalam serbuan di Sungai Chua, Kajang pada 7 Oktober lalu.

Difahamkan, ilmu pelangkah yang telah diwarisi sejak turun temurun oleh pengamalnya di Nusantara, merupakan ilmu gerak yang membuatkan seseorang itu percaya yang dia boleh ‘membaca’ keadaan sama ada membawa tuah atau malang jika hendak melakukan pecah rumah.

Dengan mengamalkan ilmu itu, suspek-suspek dipercayai serpihan ahli Geng Tong Gas itu dikatakan telah berjaya memecah masuk 15 buah rumah sejak enam bulan lalu.

Ilmu pelangkah memerlukan pengamalnya menyediakan sekeping kad sebesar tapak tangan dewasa yang mempunyai jadual berbentuk seakan-akan kalendar yang mempunyai tanda palang atau titik di setiap kotak-kotak tersebut.

Ia dipercayai sebagai tangkal atau azimat yang dikatakan dapat melindungi penjenayah melalui rasa gerak sama ada membawa tuah atau sebaliknya.

Bagaimanapun, kehandalan mereka tidak ke mana apabila kecekapan polis menyiasat kes itu mengatasi segala-galanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, polis yang menjalankan siasatan di rumah mangsa kemudian dapat menemui beberapa bukti yang membawa kepada serbuan di rumah yang didiami suspek di Sungai Chua.

Katanya, selain tangkapan, polis dapat merampas beberapa barang curi seperti lima bentuk cincin, seutas gelang, sepasang subang, telefon bimbit, sembilan surat pajak, kad pelangkah, sebilah pisau kerambit dan kad Touch n’ Go.

“Modus operandi mereka ialah akan mengumpil pintu belakang untuk masuk sebelum menggunakan tong gas seberat 14 kilogram yang terdapat dalam rumah mangsa untuk memecahkan pintu bilik.

“Soal siasat mendapati, sebelum keluar menyamun, salah seorang suspek akan lihat dan baca tanda pada kad pelangkah sama ada berjaya atau tidak,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek terlibat sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah dan barang-barang kemas yang dicuri kemudian akan dijual di kedai pajak gadai atau ditukar dengan barangan lain yang sama nilai sebelum dijual bagi mengelakkan daripada dikesan.

Suspek yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Comments