Manusia Cenderung Bergosip

BERGOSIP bukan amalan yang sihat namun masih ramai yang berdepan kesukaran untuk menghindarinya. Walaupun minda mengarahkan kita supaya tidak mendengar perbualan tentang orang lain, arahan itu seperti tidak dipedulikan, malah kita menjadi semakin teruja untuk mendengar gosip tersebut, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan orang yang kita kenali.


Hanyut dalam lingkaran gosip memang susah untuk dibuang. Salah satu penyebabnya adalah sistem visual manusia yang telah diprogram untuk fokus kepada gosip negatif yang kita dengar.

Selain itu, minda manusia lebih mudah untuk mengingati gosip yang negatif berbanding perkara baik.

“Secara semula jadi, manusia lebih sensitif kepada informasi yang mungkin berpotensi mengancam kehidupan kita,” beritahu pakar sains neuro dari California, Amerika Syarikat, Irving Biederman.

Tambahnya lagi, walaupun topik dalam gosip itu mengenai orang lain, misalnya pertelingkahan antara rakan sepejabat, kita akan menjadi semakin teruja untuk mendengarnya.

Kajian sebelum ini menunjukkan manusia cenderung untuk menghakimi dan senang bercakap tentang orang lain.

Walaupun gosip telah lama berada dalam lingkungan sosial, tetapi manusia tidak lahir untuk bergosip. Walaupun kecenderungan itu ada, sebagai ibu bapa, kita perlu menjahi gosip dengan cara menjaga pertuturan dan mengelak daripada bercakap hal negatif orang lain.

Berfikiran terbuka lebih bahagia

MANUSIA yang memiliki keperibadian terbuka atau ekstrovert sebenarnya adalah orang yang bahagia.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh perunding psikologi dari Universiti San Francisco, Ryan Howell, mendapati, golongan ekstrovert biasanya lebih mengingat hal-hal positif daripada masa lampaunya.

“Kami mendapati orang yang berfikiran terbuka sangat bahagia dengan hidupnya kerana mereka lebih menyimpan kenangan positif. Mereka juga menyimpan kenangan pahit dan penyesalan, namun jumlahnya sedikit,” katanya.

Sementara itu, orang berkeperibadian sempit atau nerotik berpandangan kontra dengan ekstrovert.

“Kerap mengingati perkara yang menyakitkan hati akan menjadikan emosi anda kurang stabil. Setiap perkara yang hadir dalam hidup anda akan cuba dikaitkan dengan penyesalan atau memori pahit tersebut. Ia boleh menjadikan anda sentiasa berasa kurang bahagia dan malang.

“Mengimbau masa lalu dengan positif berkait rapat dengan kualiti serta kepuasan hidup seseorang.

“Lupakan perkara negatif dalam hidup anda dan gantikannya dengan hal yang positif. Lakukannya sekarang kerana ia dapat meningkatkan kepuasan hidup," kata Howell.

Berjemur baiki kualiti sperma

JIKA ingin segera menjadi seorang bapa, terdapat satu rahsia mudah yang boleh diikuti sekali gus merealisasikan impian anda untuk menimang cahaya mata dalam tempoh singkat.

Jadikan berjemur pada waktu pagi sebagai rutin harian anda. Sinaran mentari yang kaya dengan vitamin D itu dikatakan bagus untuk meningkatkan kualiti kesuburan kaum Adam.

Satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pakar di Universiti Copenhagen, Denmark, yang melibatkan 340 lelaki mendapati bahawa vitamin D—mikronutrien yang dihasilkan tubuh ketika berjemur waktu pagi dapat meningkatkan kualiti sperma.

Ini kerana sel sperma yang mempunyai kadar vitamin D yang mencukupi akan lebih aktif berenang menuju sel telur.

“Selain mampu bergerak lebih pantas, sel sperma tersebut juga didapati mempunyai kadar penetrasi yang lebih tinggi," ungkap Dr. Martin Blomberg Jensen.

Comments