Industri Automatif Jepun Terjejas

GEMPA bumi yang melanda wilayah Tohoku, di timur Jepun yang disusuli tsunami pada Mac lalu dan ancaman radiasi berikutan kerosakan loji nuklear Fukushima No. 1 telah mengucar-ngacirkan ekonomi Jepun.

Bencana alam itu menyebabkan jalan raya, pelabuhan, rumah dan infrastruktur penting yang lain mengalami kerosakan teruk.

Malapetaka itu menghentikan kebanyakan kemudahan pengeluaran syarikat yang terletak di kebanyakan kawasan yang paling teruk dilanda bencana itu.

LALUAN ke pusat tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi banjir akibat tsunami diikuti gempa bumi di bandar Okuma, Fukushima Prefecture, di tenggara Jepun.

Kebanyakan syarikat yang terletak di luar kawasan yang mengalami kesan gempa bumi dan tsunami itu juga terpaksa menghentikan pengeluaran berikutan gangguan kuasa dan kesukaran mendapatkan sumber bahan mentah, alat ganti, komponen dan barangan siap.

Wilayah Tohoku adalah antara pusat kawasan pengeluar alat ganti dan bahan komponen automotif yang penting.

Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (Jama) berkata, jualan kenderaan baharu pada April merudum kepada rekod 47.3 peratus berbanding setahun lalu berikutan gangguan pengeluaran yang disebabkan kekurangan alat-alat ganti berikutan gempa bumi dan tsunami.

Mulakan operasiIa merupakan bulan kedua berturut-turut penurunan mendadak jualan kenderaan selepas jualan Mac 2011 menurun sehingga 35.1 peratus.

"Toyota mencatatkan penurunan paling teruk sebanyak 68.7 peratus manakala pengeluaran Honda mengecut 48 peratus dan Nissan sebanyak 37.2 peratus."

Menurut Jama, pengeluaran dijangka tidak kembali ke paras pragempa bumi sehingga lewat tahun ini dan tidak dapat memenuhi permintaan para pelanggan bagi serahan mengikut masa. Menjelang pertengahan April, kesemua kilang memulakan semula operasi, bagaimanapun, pengeluaran di talian pemasangan dilakukan pada paras rendah antara 50 hingga 70 peratus berbanding paras pragempa bumi.

Penulis berada di Yokohama, Jepun, bagi menghadiri Pameran Industri Automotif Malaysia (MAIE) yang diadakan serentak dengan Pameran Kejuruteraan Automotif (AEE) dari 18 hingga 20 Mei lalu.

Pada akhir bulan Mac, Toyota berhadapan kesukaran mendapatkan kira-kira 500 alat ganti automotif.

Unit kawalan enjin, alat ganti berkaitan brek dan kepingan keluli adalah antara komponen yang paling teruk menerima kesan. Sebulan kemudian, jumlah itu diturunkan kepada 30 jenis alat ganti.

Wilayah Tohoku adalah pusat peralatan dan acuan alat ganti jitu automotif dan beberapa pengeluar yang menerima kesan gempa bumi dan tsunami itu, mengalami kemusnahan teruk keseluruhan jentera dan mesin, stok dan malah pekerja serta bangunan kilang.

Lebih memburukkan lagi keadaan, pada awal Mei, Perdana Menteri Jepun Naoto Kan meminta Chubu Electric Power Co. supaya menghentikan sementara loji nuklear Hamaoka di Prefecture Shizuoka di kawasan pantai Pasifik, yang diberi amaran oleh pakar seismologi akan berlaku gempa bumi yang besar.

Kompleks nuklear itu dibina pada jaluran gempa dan dikatakan berisiko menerima kesan gempa bumi yang kuat.

Pengendali loji itu, Chubu Electric Co, menghentikan operasi loji tersebut pada pertengahan Mei lalu yang dijangka ditutup selama kira-kira dua tahun.

Pihak industri bimbang keadaan itu akan memberi kesan buruk kepada industri pemasangan di wilayah Chubu atau wilayah Tokai yang merupakan tumpuan kilang pemasangan utama pengeluaran kenderaan seperti Toyota, Honda dan Suzuki. Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Tokyo, Yuslinawati Mohd. Yusof berkata, kesan selepas gempa bumi itu terhadap perdagangan Malaysia dengan Jepun boleh dilihat dalam pelbagai industri terutama sekali industri utama Jepun, khususnya automotif, besi dan keluli serta industri elektrik dan elektronik (E&E).


PENGELUAR automotif Jepun kini sedang mencari sumber komponen automotif dan alat ganti dari seluruh dunia.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengiklanan, Daily Automotive News, Suguru Okubo berkata, para pembekal alat ganti dan komponen automotif Malaysia perlu bertindak segera menawarkan perkhidmatan masing-masing kepada pengeluar automotif Jepun selepas bencana di wilayah Tohoku.

Beliau berkata, pengeluar autotomotif Jepun kini sedang mencari sumber komponen automotif dan alat ganti dari seluruh dunia.

"Ia terbuka kepada para pembekal Malaysia," katanya semasa memberi ceramah kepada wakil 11 pengeluar alat ganti dan komponen automotif Malaysia yang menyertai MAIE dan AEE berkenaan.

Pindahkan pangkalan

Okubo berkata, para pengeluar automotif Jepun sedang mencari syarikat yang telah membangunkan ciri-ciri khas yang menarik.

"Mereka menyasarkan pertumbuhan masa depan dan akan bertindak mendapatkan rakan yang kukuh dan mengembangkan jaringan masing-masing di seluruh dunia," kata Okubo yang pernah melawat pengeluar alat ganti dan komponen Malaysia pada masa-masa lalu.

Berdasarkan fakta itu, beliau menasihati pembekal Malaysia agar bertemu para pengeluar automotif Jepun dan menunjukkan kepada mereka produk yang boleh mereka keluarkan.

Tadashi Mizushima, wakil Pengarah PNB Asset Management (Japan) Co Ltd. berkata, banyak syarikat Jepun kini mula memindahkan pangkalan pengeluaran masing-masing ke tempat yang lebih selamat di luar Jepun.

Mizushima yang berpangkalan di Tokyo berkata, beliau akan mencadangkan Malaysia sebagai salah satu daripada tempat tersebut.

Sehubungan itu katanya, agensi Malaysia yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab meningkatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan negara lain perlu mengadakan banyak pameran atau seminar perdagangan di Jepun.

Yuslinawati pula menggesa para pembekal Malaysia yang berminat berdagang dengan rakan mereka di Jepun supaya menunjukkan kualiti produk masing-masing lebih baik daripada produk daripada Amerika Syarikat atau Eropah.

"Testimoni produk masing-masing perlu dijelaskan mengikut asas-asas dan sokongan data," katanya sambil menyatakan bahawa dari segi harga, pengeluar-pengeluar Malaysia kemungkinan berhadapan dengan kesukaran.

Comments