Dulu Kuning Haram, Sekarang Kartun Pun Haram

AMERIKA SYARIKAT: Jaringan Antarabangsa Hak Kartunis (CRNI), menyifatkan tindakan kerajaan mengharamkan dua buku komik kartun karya Zunar sebagai meminggirkan hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan Perlembagaan Malaysia.

Pengarahnya, Dr Robert Russell, menyelar keputusan mahkamah tinggi yang bersetuju dengan alasan kerajaan bahawa karya kartunis itu menyebabkan ketenteraman awam terancam.


“Karya-karya Zunar begitu mempengaruhi pemikiran publik, tidak ada bukti bahawa ia boleh akan menggangu ketenteraman awam.

“Dengan penghakiman itu juga mahkamah turut meminggirkan hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Perseketuan Malaysia,” kata Russell dalam kenyataannya hari ini.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan mengharamkan kedua-dua komik Zunar yang menepati standard antarabangsa bagi kartun editorial.

“Tidak ada yang lebih benar dari kebenaran. Kedua-dua buku ini memfokus kepada isu-isu penting yang menjadi perhatian orang ramai seperti konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan skandal kapal selam,” ujarnya.

Russell turut menyuarakan kebimbangannnya ekoran tindakan mahkamah seolah memberi lesen kepada kerajaan bertindak lebih keras kepadaZunar dan kartunis-kartunis editorial lain.

“Dalam jangka masa panjang, kekangan terhadap kebebasan bersuara adalah lebih mengancam ketenteraman awam berbanding karya seorang kartunis yang mendidik publik,” kata beliau.

Justeru itu, Russell menggesa mahkamah Malaysia bagi menghormati kebebasan bersuara rakyat dan mengkaji semula keputusan mahkamah.

CRNI adalah sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi dan kebebasan bersuara bagi kartunis. Ia mengawasi dan melindungi kartunis-kartunis editorial di seluruh dunia yang menghadapi tekanan kerana ketajaman karya-karya mereka.

Pada 14 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan kerajaan mengharamkan buku “Perak Darul Kartun” dan “1 Funny Malaysia” yang dihasilkan Zunar pada tahun lalu.

Karya itu menampilkan lebih dari 150 kartun-kartun politik diharamkan oleh kerajaan pada Jun 2010 mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Zunar atau Zulkiflee Anwar Ulhaque sebelum ini turut dikenakan tekanan, malah pernah dipenjarakan kerana karyanya yang tajam mengkritik kerajaan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Comments