Tengkorak Berselerak

KAJANG: Sekumpulan juruukur tanah sebuah syarikat swasta yang mahu menjalankan kerja mengukur tanah terkejut selepas menemui tengkorak dan tulang manusia berselerakan di kawasan semak berhampiran padang bola Seksyen 1, Bandar Teknologi Kajang, di sini semalam.

Gambar hiasan

Difahamkan, pekerja terbabit menyangka terdapat timbunan sampah di kawasan semak itu sebelum menemui tengkorak dan tulang manusia berselerakan di tempat kejadian, kira-kira jam 1 tengah hari.

Sumber berkata, pekerja berkenaan kemudian menghubungi polis memaklumkan penemuan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, sejurus menerima maklumat itu, beberapa anggota polis bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Polis masih belum mengenal pasti identiti mayat yang ditemui berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di sekitar tempat kejadian.

“Bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat untuk mengenalpasti identiti mangsa,” katanya.

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

Berikutan itu, Azman meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Comments