Dikelar Kerana Hutang

TEMERLOH: Akibat hutang, seorang lelaki warga asing diserang sebelum ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila lehernya dikelar, kedua-dua tangan dan kepalanya ditetak menggunakan senjata tajam dipercayai parang, di kebun betik Jalan Ulu Ketam, Kerdau, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang tidak dikenal pasti identiti dan berusia dalam lingkungan 20-an, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan berseluar dalam.

Gambar hiasan

Mayat mangsa ditemui beberapa orang awam yang dikatakan secara kebetulan melalui tempat kejadian sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, sepasukan anggota polis yang menerima panggilan bergegas ke tempat kejadian bersama Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik.

Menurutnya, polis tidak menemui sebarang identiti pada mangsa yang ditemui hanya berseluar dalam sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut oleh Pakar Patologi dari HTAA Kuantan mendapati terdapat empat kesan tetakan di kedua-dua tangan, belakang kepala, bahu kiri dan leher mangsa.

“Hasil bedah siasat dijalankan mendapati, mangsa disahkan meninggal dunia akibat akibat putus urat tunjang leher. Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu membabitkan hutang. Hasil maklumat dan siasatan awal, kami mahu mengesan seorang suspek bernama Riyan berusia 20-an,” katanya, semalam.

Menurutnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Riyan yang berasal dari Lombok, Indonesia dan berkulit sawo matang supaya tampil di IPD Temerloh untuk membantu siasatan.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Comments