Campak Heroin dan dicekup

TERTANGKAP...penunggang motosikal yang ditahan kerana memiliki heroin seberat tiga gram.

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penunggang motosikal cuba mencampakkan sesuatu daripada poketnya apabila menyedari sekatan polis gagal selepas perbuatan itu disedari anggota polis, semalam.

Berikutan itu, polis menemui satu peket heroin yang cuba dibuang penunggang motosikal berkenaan ketika operasi di lorong motosikal, Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Petaling Jaya, di sini.

Difahamkan, suspek berusia 34 tahun dan bekerja sebagai chef di sebuah restoran terkenal di Bangsar, di sini menyimpan sepeket heroin seberat tiga gram dalam kocek kirinya selepas pemeriksaan seluruh badan dilakukan terhadapnya.

Operasi dikenali sebagai Ops Motosikal dan Advokasi itu bermula jam 9.30 pagi hingga jam 12 tengah hari khusus menyasarkan penunggang motosikal.

Ketua Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, seramai 12 anggota dari Unit Kuat Kuasa Khas dan Unit Latihan terbabit dalam operasi itu yang bertujuan memastikan penunggang motosikal mematuhi undang-undang sedia ada.

“Kami menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai pelbagai kes termasuk samun, ragut, dadah dan kebanyakan membabitkan penjenayah menunggang motosikal.

“Berdasarkan operasi itu, kami mengesan kesalahan lain seperti menunggang tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Katanya, 257 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan ke atas 165 penunggang motosikal yang diperiksa sepanjang operasi.

“Lelaki yang ditahan kerana itu diserahkan ke Balai Polis Travers untuk tindakan lanjut dan kes itu akan disiasat mengikut seksyen Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Comments